15 Tokoh Agamawan Sertai PKR | Malaysia News
May 11, 2021

15 Tokoh Agamawan sertai PKR

Seremban, MTN – Selepas dua personaliti hiburan iaitu pelakon, Datuk Afdlin Shauki serta penyanyi Altimet mengumumkan menyertai PKR baru-baru ini, hari ini giliran 15 individu yang berlatar belakang agama pula menyertai parti berkenaan.

Mereka ialah antaranya Bekas Ketua Hakim Syarie, Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan, Datuk Baharum Hasbullah dan Felo Penyelidik Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Shamsul Azhar Yahya.

Turut sama mengumumkan menyertai PKR ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Razaly Hassan dan bekas pensyarah, Azis Jakfar Soraji.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyertaan golongan agamawan ke dalam PKR merupakan sesuatu yang menyenangkan terutama dalam membantu perjuangan PKR.

“Sesuatu yang amat menyenangkan kita dapat tampilkan agamawan yang telah berkhidmat, aktif dalam dakwah dan ada yang lulusan dari fakulti Islam, mengumpulkan tenaga bukan sahaja dakwah, penggerak dan juga pemikir Islam yang boleh memberikan pengisian terhadap perjuangan PKR.

“Amat positif bila ada suntikan penyertaan agamawan sama ada bekas (ahli) Pas, ataupun bekas hakim, guru dan pensyarah kerana, kefahaman kita tentang islam itu bukan sahaja sebagai agama Persekutuan tetapi pengisian yang boleh membawa kebaikan yang mendorong kepada perubahan dan menolak rasuah dan penyelewengan. Ia suntikan, kekuatan dan semangat baharu dalam PKR,” katanya.

Advertisement

Anwar berkata demikian dalam sidang akhbar Pengumuman Kemasukan Tokoh-Tokoh Agamawan ke dalam PKR di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar yang juga Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Sementara itu, tambah Ahli Parlimen Port Dickson itu, PKR selepas ini akan menampilkan lebih ramai individu daripada pelbagai disiplin yang telah menyatakan hasrat untuk menyertai parti itu.

“Kita ambil keputusan untuk beri fokus, (sebelum ini) beberapa artis, kita biar mereka sendiri berikan pandangan dan kita dengar.

“Selepas ini ada siri-siri lain unutk menampilkan PKR sebagai wadah yang besar dan bermakna di negara kita yang mewakili semua,” katanya lagi. [UO]

Advertisement
Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •