PH Sertai J'kuasa Parlimen Hibrid Dengan Bersyarat | Malaysia News

PH sertai j’kuasa Parlimen Hibrid dengan bersyarat

Pakatan Harapan

PH sertai j’kuasa Parlimen Hibrid dengan bersyarat

MTN – Penubuhan jawatankuasa bagi mengkaji pelaksanaan sidang parlimen secara hibrid tidak sepatutnya menjadi dalih kerajaan untuk melengahkan sidang Dewan Rakyat.

Menurut Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) gabungan itu bersedia menyertai jawatankuasa berkenaan – yang diumum Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru-baru ini – namun ia adalah bersyarat.

Dalam kenyataan dikeluarkan malam ini Majlis Presiden PH berkata, mereka akan menyertai jawatankuasa tersebut jika parlimen dibuka sebelum 1 Ogos.

“PH juga akan mengusahakan petisyen dalam kalangan ahli-ahli parlimen yang akan dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membuktikan majoriti ahli parlimen menyokong parlimen bersidang secepat mungkin,” kata mereka.

Ia ditandatangani Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Pada 16 Jun lalu Agong menzahirkan pandangan bahawa parlimen wajar bersidang secepat mungkin, antara lain bagi membolehkan ordinan darurat dibincangkan.

Pandangan itu kemudian disokong Majlis Raja-raja yang mengeluarkan kenyataan berasingan tidak lama kemudian. Turut ditekankan ialah tiada keperluan melanjutkan darurat selepas 1 Ogos serta pentingnya wujud kerajaan yang kukuh serta mendapat sokongan majoriti rakyat.

Bagaimanapun kerajaan Perikatan Nasional didakwa cuba melengahkan pembukaan parlimen, termasuk melalui cadangan Muhyiddin untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi mengkaji pelaksanaan sidang secara hibrid.

Muhyiddin kemudian menegaskan jawatankuasa itu akan turut melibatkan wakil pembangkang.

Menurut Majlis Presiden PH parlimen perlu bersidang secepat mungkin sebagai menjunjung titah Agong dan Raja-raja Melayu.

“Selaras dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, sidang Parlimen perlu diadakan sebelum 1 Ogos agar Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat dapat dibentang dan dipertimbang ahli-ahli parlimen.

“Pada masa sama sidang yang disegerakan ini akan memberi ruang kepada ahli parlimen untuk membahas Pelan Pemulihan Negara, langkah-langkah mengatasi pandemik Covid-19, dan keperluan meningkatkan bantuan untuk rakyat yang sedang sangat tertekan pada waktu ini,” katanya.

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply