Azan Ismail Bidas Sikap 'Membisu' Kerajaan Negeri PAS Isu Gesaan Buka DUN | Malaysia News

Azan Ismail bidas sikap ‘Membisu’ kerajaan negeri PAS isu gesaan buka DUN

Azan Ismail bidas sikap ‘Membisu’ kerajaan negeri PAS isu gesaan buka DUN

Azan Ismail bidas sikap ‘Membisu’ kerajaan negeri PAS isu gesaan buka DUN

MTN – Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail menyelar pemimpin PAS yang disifatkannya sebagai membisu mengenasi gesaan mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri yang dipimpin parti mereka.

Azan berkata, negeri di bawah pimpinan PAS – Kelantan, Terengganu dan Kedah – sepatutnya menjadi contoh dan bertegas dalam soal kepentingan rakyat dengan bertindak memastikan DUN di setiap negeri di bawah pentadbirannya dapat dibuka pada kadar segera.

Bagaimanapun, kata Azan, tiada sebarang usaha yang dilakukan oleh pimpinan PAS.

“Kita ingat negeri yang diperintah oleh PAS dan berasaskan kepada menegakkan Islam dan menjadi tauladan yang baik, kemudian membangun bersama Islam tapi bila berkenaan dengan usaha menegakkan demokrasi mereka ini diam membisu.

“Sepatutnya, pimpinan PAS di tiga negeri ini menjadi contoh dan teladan dan ramai yang menjangkakan tiga negeri ini akan mendahului negeri lain untuk menetapkan tarikh dan membuat sidang DUN kerana banyak perkara di negeri yang melibatkan keputusan besar perlu diputuskan dalam sidang dewan.

“Tapi perkara itu tidak berlaku dan mengecewakan banyak pihak,” katanya.

Mengulas lanjut, Azan berkata pimpinan PAS seharusnya tiada sebarang kebimbangan rampasan kuasa kerajaan negeri sekiranya DUN dibuka.

Bagaimanapun, kata Azan sehingga hari ini tiada bayangan langsung untuk kerajaan pimpinan PAS iuntuk menyegerakan pembukaan semula sidang DUN.

“Saya sendiri terkejut dan merasa kecewa juga sebab sepatutnya di tiga negeri yang kehidupannya mantap, maksudnya tidak ada kebimbangan apa dan jumlah ahli dewannya pun dalam keadaan yang kukuh tidak menjadikan (apa pun alasan) sebagai pertimbangan langsung.

“Sedangkan, perkara yang remeh seperti pembelian kenderaan untuk eco didahulukan lebih cepat tanpa rasa malu atau pun rasa bimbang apa-apa. Jadi, sehingga hari ini tiga negeri di bawah pimpinan PAS ini masih membisu.

“Presiden dia dan juga kepimpinan utama mereka yang duduk sebagai menteri dan timbalan menteri semuanya membisu, tak beri bayangan langsung tentang kepentingan untuk mengadakan sidang DUN seperti negeri lain yang dah buat ketetapan untuk tarikh persidangan,” katanya.

‘Terhutang budi dengan Muhyiddin’

Azan turut menyifatkan pemimpin PAS sebagai leka dengan jawatan yang disandang mereka dalam kerajaan.

“Mereka leka dengan keseronokan mendapat laba barangkali dan mereka melihat rakyat Terengganu ini, benda yang tak perlu diambil berat, tak perlu khuatir langsung sama ada rakyat bersuara atau menyalahkan kerajaan negeri ke atau apa.

“Mereka langsung tidak bimbang, seolah-olah mereka leka dengan kedudukan sehingga mereka lupa dan hairannya pimpinan mereka ini sepatutnya menyuarakan atau menimbulkan isu ini tapi masingmasing sama sama dengan kepimpinan baik di peringkat pusat atau negeri mahu pun kawasan, PAS semuanya membisu.

“Padahal di negeri Terengganu banyak isu-isu tertangguh yang perlukan kelulusan Dewan, baik peruntukan tambahan untuk Covid, pelaksanaan suntikan vaksin serta merta. Tapi semua perkara perkara ini memang dipandang sepi apatah lagi isu besar seperti persidangan DUN dibuka,” katanya.

Selain itu, kata pemimpin PKR itu lagi, pemimpin PAS juga menurutnya bersikap sambil lewa kerana terlalu banyak terhutang budi dengan jasa yang ditaburkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Sikap pimpinan PAS yang tidak menyegerakan sidang DUN sama seperti perdana menteri dan yang lebih teruk lagi kita tahu ketiga-tiga negeri ini terhutang budi yang sangat besar kepada Muhyiddin.

“Kerana, satu berkait dengan pelantikan menteri dan timbalan menteri dalam jawatan-jawatan dalam GLC dan sebagainya. Jadi, di tiga-tiga negeri ini keutamaan memang diberikan kepada PAS, hampir langsung tidak ada pelantikan daripada Umno,” tambahnya.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu lepas menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam kenyataan pula dipetik berkata di peringkat negeri, Raja-Raja Pemerintah turut berpendirian agar Dewan Undangan Negeri (DUN) dibolehkan bersidang secepat mungkin.

Jumaat lepas, beberapa negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah memaklumkan akan membuat pemohonan bagi mengadakan sidang DUN manakala Perlis dijadual kembali bersidang selama tiga hari bermula 24 Ogos.

Pada Sabtu lepas, sidang DUN Melaka dilaporkan akan diadakan selewat-lewatnya pertengahan bulan depan selepas tarikh sebenar pelaksanaannya digazetkan.

Sementara Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini memaklumkan Kedah belum bercadang untuk mengadakan persidangan DUN dan hanya melaksanakannya selepas Parlimen bersidang berikutan masih terikat dengan Ordinan Darurat.

DUN Kelantan juga dilaporkan hanya akan bersidang selepas Parlimen mengumumkan tarikh persidangannya, kata Yang Dipertuanya Abdullah Ya’kub. [MK]

Facebook Comments

Author Profile

Wahyu Basyir
Wahyu Basyir

About The Author

Leave a Reply