PH Tiada Pilihan, Bubarkan Parlimen | Malaysia News

PH tiada pilihan, Bubarkan Parlimen

PH tiada pilihan, Bubarkan Parlimen

Ketua Pembangkang, Ismail Sabri Yaakob yang juga naib presiden Umno menggesa kerajaan PH supaya membubarkan parlimen kerana telah hilang keyakinan rakyat.

“Penolakan rakyat terhadap PH di Tanjung Piai bukan lah yang pertama. Kerajaan telah ditolak berturut-turut sebanyak tiga kali sejak PRK Cameron Highlands, diikuti Semenyih dan Rantau. Majoriti kekalahan PH meningkat daripada 3,000 lebih di Cameron Highlands ke 4,000 lebih di Semenyih dan Rantau sehingga memuncak kepada 15,000 lebih di Tanjung Piai.

“Mesej rakyat amat jelas iaitu mereka tidak lagi percaya kepada kerajaan PH untuk menerajui pemerintahan negara ini.

“Keputusan Tanjung Piai merupakan referendum rakyat yang menolak kerajaan hari ini.

“Kerajaan tiada pilihan lagi selain daripada membubarkan parlimen,” katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Ismail berkata PH kalah meski pun membuat pelbagai janji peruntukan terhadap kawasan parlimen itu.

Selain itu, katanya polisi PH yang mengurangkan bantuan kepada masyarakat luar bandar telah membebankan penduduk di sana.

“Yang menambahkan kekecewaan rakyat adalah apabila dasar kerajaan yang dilihat gagal malah telah membebankan hidup mereka.

“Walaupun menteri-menteri PH turun untuk memberikan janji-janji manis namun rakyat Tanjung Piai sudah tidak mempercayai PH lagi.

“Bagi mereka cukup lah sekali ditipu, mereka tidak rela ditipu secara berterusan lagi,” katanya lagi.

Pengiktirafan Muafakat Nasional

Sementara itu, presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata kemenangan besar BN di Tanjung Piai menandakan rakyat mengiktiraf kerjasama parti itu dan PAS melalui Muafakat Nasional yang baru dibentuk pada September lalu.

Walaupun PAS tidak memiliki hubungan rasmi dengan MCA dan MIC, parti itu mengambil pendekatan mesra dengan rakan Umno di dalam BN.

“Kemenangan ini adalah kemenangan rakyat. Ia manifestasi penolakan kerajaan yang menzalimi dan mengabaikan rakyat. Kerajaan sekarang sudah tidak lagi mendapat kepercayaan rakyat.

“Rakyat sudah bersuara untuk mengiktiraf Muafakat Nasional sebagai pembela nasib masa depan mereka,” katanya pada hari ini.

Kenyataan Zahid selari dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang semalam yang berkata bahawa kemenangan besar calon BN Wee Jeck Seng di Tanjung Piai adalah kejayaan pembangkang melalui kerjasama Muafakat Nasional

“PAS mengucapkan tahniah atas kemenangan calon BN yang mewakili suara pembangkang di PRK Tanjung Piai, dan menyifatkan keputusan ini sebagai kejayaan bersama Muafakat Nasional.

“Kemenangan ini menunjukkan penerimaan rakyat bermasyarakat majmuk terhadap agenda penyatuan ummah, seterusnya mengorak langkah bagi mengukuhkan kerjasama dan integrasi yang lebih erat di peringkat nasional,” kata Abdul Hadi pada suatu kenyataan malam tadi.

Keputusan rasmi yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan calon BN Wee Jeck Seng menang dengan majoriti besar, iaitu 15,086 undi.

Beliau mendapat 25,466 undi manakala calon PH Karmaine Sardini hanya 10,380 undi.

Calon lain yang bertanding hilang wang pertaruhan iaitu Wendy Subramaniam daripada Gerakan mendapat 1,707 undi, Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) mendapat 850 undi, dan dua calon bebas Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar masing-masing meraih 380 dan 32 undi.

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply