Gempa Politik, PH Kalah Teruk Di Tanjung Piai | Malaysia News

Gempa Politik, PH Kalah Teruk di Tanjung Piai

Gempa Politik, PH Kalah Teruk di Tanjung Piai

Kekalahan teruk PH pada pilihan raya kecil Tanjung Piai boleh menandakan bermulanya pengakhiran PH atau ia dapat menjadi suatu permulaan baru bagi pakatan parti pemerintah itu, kata pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

“Kekalahan yang membinasakan ini akan menjadi permulaan kepada pengakhiran pemerintahan Pakatan Harapan seperti yang kita ketahui atau memberi peluang kepada kami untuk memulakan suatu permulaan yang lebih baik.

“Kekalahan besar pada pilihan raya kecil Tanjung Piai adalah titik perubahan untuk politik Malaysia. Ibaratnya umpama tidak kurang daripada gempa bumi.

“Kami dengan rasa rendah diri mengakui kekalahan ini dan menghormati keputusan demokratik rakyat,” katanya pada majlis makan malam penghargaan kepada sukarelawan pilihan raya DAP di Tanjung Piai hari ini.

Liew berkata kepimpinan PH, termasuk DAP, akan mengadakan jelajah ke seluruh negara untuk mendengar suara akar umbi bagi merangka hala tuju masa depannya.

“Saya berharap jelajah untuk mendengar (suara akar umbi ini) akan menghasilkan beberapa bentuk perjanjian baru dan pelan pemulihan bagi dilaksanakan pada tahun 2020 supaya mendapatkan semula keyakinan orang ramai,” katanya.

Bagaimanapun, Liew memberi amaran agar tidak terjebak ke dalam naratif kaum Umno dan PAS semasa proses pencarian ini.

“Bahaya yang akan dihadapi kerajaan PH adalah akan ada pandangan bahawa pakatan ini tidak berdaya maju dan perlu segera diganti.

“Gabungan Umno-PAS akan berhujah bahawa Muafakat Nasional, dengan MCA sebagai rakan kongsi, merupakan model yang lebih baik daripada kerajaan semasa, memainkan rasa benci di kalangan orang Melayu terhadap DAP.

“Di sisi lain, MCA akan terus berhujah bahawa DAP menjual diri kepada Bersatu.

“Kerangka perkauman semacam itu berbahaya dan telah terbukti dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai yang mana kami tewas di kedua-dua kawasan Melayu dan bukan Melayu serta boleh pecah di tengah-tengah,” katanya.

Senator itu berkata PH perlu mencari titik temu tujuan bersama.

“Kami mesti menerima bahawa kebangkitan demokratik pada 9 Mei 2018 bermaksud semua orang merasakan mereka mempunyai hak demokratik sepenuhnya untuk mengundi sesiapa sahaja dan tidak ada deposit tetap kepada sesiapa pun. Hampir setiap orang merupakan pengundi yang boleh berubah.

“Kita memerlukan naratif bersama rakyat Malaysia untuk memastikan semua kumpulan etnik bahawa mereka tidak terkepung.

“Kegagalan mengemukakan naratif Malaysia yang bersesuaian membenarkan dunia pendapat yang tiba-tiba bebas ini untuk membentuk pendapat umum dalam kerangka bingkai perkauman yang mengakibatkan kemarahan yang luar biasa pada kedua-dua pengundi Melayu dan bukan Melayu,” katanya.

Pada pengundian PRK yang berlangsung semalam, calon BN Wee Jeck Seng menang dengan majoriti besar, iaitu 15,086 undi.

Beliau mendapat 25,466 undi manakala calon PH Karmaine Sardini hanya 10,380 undi.

Calon lain yang bertanding hilang wang pertaruhan iaitu Wendy Subramaniam daripada Gerakan mendapat 1,707 undi, Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) mendapat 850 undi, dan dua calon bebas Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar masing-masing meraih 380 dan 32 undi.

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply