Zuraida: "Anwar Sebagai Presiden Ada Kuasa Buat Apa Dia Suka" | Malaysia News

Zuraida: “Anwar sebagai presiden ada kuasa buat apa dia suka”

Zuraida: “Anwar sebagai presiden ada kuasa buat apa dia suka”

Jika Presiden PKR Anwar Ibrahim sendiri merestui pengguguran timbalan presiden parti Mohamed Azmin Ali daripada merasmikan kongres tahunan bagi sayap pemuda parti, maka hal itu wajar “dibiarkan” begitu, kata naib presiden PKR, Zuraida Kamaruddin.

Hal itu, katanya, memandangkan Anwar sebagai presiden parti ada kuasa “berbuat apa pun”, biarpun kongres Wanita dan Pemuda PKR sebelum ini lazimnya dirasmikan oleh timbalan presiden.

“Tapi kalau presiden sudah merestuinya, nak buat cara begitu, jadi kita biarkan sajalah. Sebab presiden ada kuasa nak buat apa-apa dia suka,” katanya seperti dilaporkan FMT hari ini.

Zuraida, yang dilihat merupakan antara penyokong kuat Azmin berkata demikian mengulas pembatalan jemputan untuk Azmin merasmikan kongres Pemuda PKR (AMK) dan sebaliknya digantikan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga penasihat PKR Dr Wan Azizah Ismail.

Mengulangi kenyataan Ketua Wanita PKR Haniza Talha semalam, Zuraida menegaskan bahawa sudah menjadi tradisi untuk timbalan presiden parti merasmikan kongres sayap Wanita dan AMK.

“Kemelut? Tak ada kemelut kerana memang menjadi tradisi timbalan presiden merasmikan mesyuarat agung Wanita dan AMK.

[…] Yalah kalau itu yang presiden harapkan, itulah yang terjadi,” Zuraida dipetik berkata.

Ketua AMK Akmal Nasir sebelum ini berkata AMK bertanggungjawab memberi mesej yang jelas bahawa sayap pemuda parti itu akan kekal teguh mendokong kepimpinan parti.

Tindakan itu bagaimanapun dibantah sebahagian besar – 21 daripada 25 – kepimpinan pusat AMK yang menang dalam pemilihan lalu menerusi satu kenyataan rasmi 13 November lalu.

Azmin pula mendakwa wujud ‘tangan ghaib’ atas pembatalan jemputannya.

Kata Azmin, Akmal tidak akan berani melakukan sesuatu tanpa ‘tangan ghaib’ di belakangnya.

Ini bercanggah dengan kenyataan Naib Ketua AMK Syed Badli Shah Syed Osman yang mendakwa bahawa Azmin tidak membalas surat jemputan selepas lebih sebulan dihantar.

Manakala Setiausaha Politik Azmin, Muhammad Hilman Idham mendakwa Syed Badli berbohong dan surat pembatalan jemputan itu sendiri menunjukkan bahawa undangan telah dijawab.

Anwar pada 15 November menyangkal dakwaan wujudnya ‘tangan ghaib’ berhubung pembatalan jemputan Azmin dan menegaskan apa-apa perubahan dibuat melalui mesyuarat, bukan oleh ugutan dari mana-mana tokoh.

Sebelum ini, mengikut tradisi, kongres sayap pemuda parti itu dirasmikan timbalan presiden.

Perasmian kongres AMK dijadual berlangsung 6 Disember depan di Melaka.

– Malaysiakini

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply