PKP: Tiada Sekatan Aktiviti Rantaian Bekalan, Pemasaran, E-Dagang | Malaysia News
February 23, 2024

PKP: Tiada Sekatan Aktiviti Rantaian Bekalan, Pemasaran, e-Dagang

PKP: Tiada Sekatan Aktiviti Rantaian Bekalan, Pemasaran, e-Dagang

Kuala Lumpur, MTN – Aktiviti pembekalan makanan dan e-dagang yang merangkumi pengeluaran bahan makanan, peruncitan, pembungkusan, pengedaran, pemborongan, pusat pengedaran serta pengeluar bahan mentah dibenarkan untuk terus beroperasi dengan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, perkhidmatan logistik dan pengangkutan yang menyokong rantaian bekalan dan pemasaran serta e-dagang bagi pembekalan bahan makanan dan barang keperluan (essential) turut dibenarkan untuk terus beroperasi.

Katanya, selain itu syarikat-syarikat yang menyokong rantaian bekalan makanan dan ditakrifkan sebagai industri hiliran/sokongan dibenarkan beroperasi dengan jumlah pekerja minimum serta mematuhi langkah-langkah pengawalan Covid-19 seperti yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kebenaran beroperasi adalah selaras dengan takrif sektor yang kritikal (essential sector) seperti yang telah diumumkan oleh YB Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di dalam perutusan beliau pada 21 Mac 2020.

“Ini adalah merupakan tanggungjawab kerajaan untuk memastikan rangkaian pengedaran peruncitan tidak terjejas, sekali gus memberi keyakinan kepada rakyat Malaysia,” kata beliau dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, pihak industri juga diingatkan agar melaksanakan langkah-langkah pencegahan Covid-19 semasa aktiviti urusniaga berjalan.

Menurutnya, antara langkah-langkah yang perlu diambil adalah memastikan hanya pekerja bebas-gejala dibenarkan memasuki premis pekerjaan, amalkan penjarakan sosial, pencucian tangan yang kerap serta amalan-amalan lain seperti yang digariskan oleh KKM dan pihak berkuasa lain.

Justeru katanya, syarikat yang dibenarkan beroperasi turut diarahkan untuk melakukannya pada kadar paling minimum atau menutup perkhidmatan tidak penting.

“Adalah menjadi tanggungjawab setiap syarikat yang telah diberi kebenaran mematuhi arahan dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Majikan juga perlu menyediakan surat pengesahan kepada setiap pekerja untuk rujukan dan ditunjukkan kepada anggota penguatkuasa apabila diminta,” ujarnya lagi.

Beliau turut menasihati rakyat agar tidak bimbang dengan bekalan makanan dan keperluan harian kerana dijamin mencukupi.

“Adalah penting supaya rakyat Malaysia tidak melakukan pembelian panik atau berlebihan. Adalah wajar agar pengguna mengamalkan ciri-ciri pengguna bestari dan melaksanakan pembelian terancang.

“Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pihak pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian hotline 03- 8882 5881/ 5905 atau e-melkan kepada spip@kpdnhep.gov.my,” katanya. [bernama]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply