PKR cabar Hadi Awang PAS – Ludahan ke langit akan hinggap di muka sendiri
PKR cabar Hadi Awang PAS – Ludahan ke langit akan hinggap di muka sendiri
PKR membidas kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang melabel parti pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu sebagai melawan al-Quran dan mempertahankan warisan penjajah.
Menurut PKR walaupun begitu Abdul Hadi gagal menyatakan hal tersebut secara jelas sebaliknya ‘berhelah’ apabila menghasilkan hantaran yang tidak sepadan di antara tajuk dan kandungannya.
Justeru Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR Amidi Abdul Manan mencabar Abdul Hadi membuat kenyataan secara jelas mengenai kedudukan parti itu terhadap Perlembagaan Persekutuan.
Dia juga menyifatkan Abdul Hadi sebagai meludah ke langit apabila mendakwa PKR “mengekalkan warisan penjajah” yang dipercayai merujuk kepada perlembagaan negara.
“Agak melucukan apabila Abdul Hadi menuduh PKR mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang bertentangan dengan Islam, sedangkan perkara yang serupa dilakukan wakil rakyat Marang tersebut bersama sekutunya sebelum ini.
“(Abdul Hadi) terlupa lafaz ikrar yang dibaca ketika kali pertama bersidang bagi setiap sesi iaitu mempertahankan Perlembagaan Persekutuan pada setiap masa dan ketika.
“Maka ludahan ke langit akan hinggap di muka sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amidi mengulas tulisan Abdul Hadi semalam yang mendakwa PKR “melawan al-Quran” susulan seruan pemimpin mereka supaya ahli-ahli parti terbabit menyerang sebarang kenyataan ahli politik yang mempolitikkan agama.
Terdahulu Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail menggesa ahli PKR supaya bersikap ‘menyerang’ terhadap kenyataan-kenyataan ahli politik yang berkeras untuk mempolitikkan agama
Dalam ucapan penggulungannya di Kongres Nasional Khas PKR, Saifuddin mengetengahkan kenyataan Abdul Hadi yang menurutnya dibuat secara jelas menentang titah diraja.
Penting hadir di parlimen
Menurut Amidi sebenarnya dia cuba memahamkan tulisan Minda Presiden PAS dibuat Abdul Hadi yang melabelkan PKR Lawan al-Quran namun tiada satu pun kenyataan yang dikeluarkan yang sepadan dengan maksud tajuk tulisan bekas duta khas ke Timur Tengah itu.
“Pihak pimpinan PKR hanya mahukan keikhlasan dan kesungguhan wakil rakyat Marang dan beberapa ahli Parlimen dari PN untuk hadir ke sidang parlimen.
“Jika wakil rakyat Marang hanya sibuk beraksi dengan berpidato di merata tempat tapi tidak ke sidang parlimen, maka itu adalah satu perkara yang bertentangan dengan agama.
“Islam sangat menitikberatkan soal kesucian dan keberkatan pendapatan.
“Maka apa alasan untuk kita mengambil pendapatan (elaun sebagai wakil rakyat) sedangkan kita tidak melaksanakan tugasan yang diwajibkan ke atas kita?
“Jika jawapannya adalah parlimen tidak sama dengan sekolah iaitu tidak perlu hadir setiap hari, maka ingin saya tekankan, parlimen lebih penting berbanding sekolah kerana di situlah berlakunya proses semak dan imbang.
Ätau dalam ungkapan lain, di parlimenlah berlakunya al-amru bi il-ma’ruf wa nahyu a’ni il-munkar.
“Dari situlah punca peraturan dan undang-undang digubal,” tegasnya.
Tambahnya jika kesepaduan antara Islam dan politik yang diperjuangkan Abdul Hadi, maka memang parlimenlah tempatnya.
“Ia bukan sahaja menjadi wajib dari sudut politik tetapi juga dari sudut dakwah sebagaimana yang dipamerkan oleh generasi para sahabat di Madinah sehingga meraih gelaran khayra ummah (umat terbaik),” jelas Amidi. [MK]
Author Profile
Latest entries
- Seni & HiburanDecember 13, 2024Nabila Razali amalkan zikir permudah bersalin
- NationalDecember 13, 2024Kelantan alami kerugian RM30 juta akibat banjir
- SukanDecember 12, 2024Harimau Malaya menang tipis 3-2
- NationalDecember 12, 2024Universiti Malaya lancarkan Allianz Centre for Governance