PKR cabar Muhyiddin Yassin buktikan status pendaftaran PN
PKR cabar Muhyiddin Yassin buktikan status pendaftaran PN
Kuala Lumpur, MTN – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencabar Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan bukti pendaftaran Perikatan Nasional (PN) sudah berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Ketua Penerangannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, ini berikutan carian dalam rekod di laman sesawang RoS, tiada maklumat mengenai pendaftaran parti gabungan UMNO, Bersatu dan Pas itu.
Katanya, jika PN belum didaftarkan secara rasmi, beliau mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan serta merta dengan membatalkan pencalonan semua calon yang bertanding di bawah tiket PN.
“Pilihan raya adalah platform penting bagi rakyat untuk menggunakan hak mereka sebagai warganegara. Mereka berhak untuk memilih calon dari parti yang sah disisi undang-undang untuk menjadi wakil seterusnya membentuk kerajaan negeri.
“Sekiranya calon yang mewakili sebuah pertubuhan haram dibenarkan bertanding, ini merupakan satu penghinaan kepada sistem demokrasi berparlimen di Malaysia dan juga bagi rakyat khususnya warga Sabah,” katanya.
Khamis lalu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Abdul Rashid Asari dilaporkan berkata, permohonan untuk mendaftarkan PN sebagai sebuah gabungan parti sudah dihantar kepada RoS) minggu lalu.
Beliau menyataka, keputusan mengenai pendaftaran secara rasmi gabungan itu akan diketahui dalam masa terdekat. [mg]