PM Baharu – Sokongan Anwar meningkat, Ismail merosot

PM Baharu – Sokongan Anwar meningkat, Ismail merosot
MTN – Tindakan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menyerahkan urusan pemilihan Perdana Menteri ke-9 kepada Yang Dipertuan Agong telah menyebabkan kumpulan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) kehilangan sokongan 18 ahli Parlimen.
Ia menjadikan kumpulan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai 105 ahli Dewan Rakyat berada di hadapan dalam pemilihan perdana menteri kali kini.
Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kuasa itu diserahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Saya serah kepada kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” jawabnya ringkas, lapor Astro Awani.
Yang Dipertuan Agong telah bercakap dengan Abang Johari secara maya semalam selepas bertemu dengan pemimpin-pemimpin politik dari Semenanjung dan juga Sabah.
Malam tadi, Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal mengumumkan, partinya memberikan sokongan penuh kepada Anwar dengan syarat beliau mempunyai majoriti yang cukup.
Jika Anwar gagal mendapatkannya, maka beliau mensyaratkan parti-parti Pakatan Harapan akan menyokong beliau pula sebagai calon PM.
Presiden Pejuang, Datuk Mukhriz Mahathir pula berkata, partinya akan memberikan keutamaan kepada calon Pakatan Harapan untuk menjadi perdana menteri.
Majlis Tertinggi Umno dalam mesyuarat mereka semalam telah mencapai kata sepakat untuk memberikan sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri sebagai perdana menteri. Begitu juga Bersatu dan Pas.
Dewan Rakyat mempunyai 220 ahli sekarang selepas kematian ahli dari Grik dan Batu Sapi. Dengan 18 dari GPS menyerahkannya kepada Yang Dipertuan Agong, bilangan yang akan membuat undian adalah 202 sahaja.
Jika ia benar-benar berlaku, Anwar yang mempunyai sokongan 105 sudah dikira mendahulu lawan beliau.
Kesemua ahli Dewan Rakyat diberikan masa sehingga jam 4 petang ini untuk mencalonkan nama mana-mana ahli Dewan Rakyat sebagai perdana menteri. [MHD]
Author Profile

Latest entries
IT & Social MediaFebruary 14, 2025Tim Cook acah pengenalan produk Apple pada 19 Februari – iPhone SE
IT & Social MediaFebruary 14, 2025YouTube Shorts mula perkenal ciri janaan video dikuasakan AI
IT & Social MediaFebruary 13, 2025DeepSeek berupaya pacu penerimagunaan AI di Malaysia
Seni & HiburanFebruary 12, 2025G-Dragon, Bintang K-Pop kembali dengan jelajah dunia selepas 8 tahun