PM Thailand gesa kerjasama pelbagai hala tangani cabaran rentas sempadan

PM Thailand gesa kerjasama pelbagai hala tangani cabaran rentas sempadan
BANGKOK – Kerajaan Thailand menggesa kerjasama antarabangsa di semua peringkat untuk menangani cabaran rentas sempadan dan meningkatkan kestabilan serantau.
Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra berkata, ancaman rentas sempadan yang serius, termasuk bencana alam, ketegangan geopolitik, perubahan iklim dan jenayah rentas negara bukan sahaja menjejaskan keamanan, kestabilan dan keselamatan global, malah turut memberi kesan kepada pembangunan antarabangsa dan serantau.
“Menyelesaikan isu ini dan menangani gangguan tersebut, kita perlu mengukuhkan kerjasama di semua peringkat dan mengamalkan kepimpinan yang berkesan.
“Terutama dalam tempoh mencabar ini, tindakan kita mesti berpandukan dasar berpandangan jauh yang berasaskan undang-undang dan norma antarabangsa, bagi meningkatkan daya tahan dan memacu pembangunan inklusif serta mampan,” katanya pada Sesi ke-81 Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial bagi Asia dan Pasifik (CS81) di Pusat Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di sini, pada Isnin.
Sehubungan itu, beliau berkata, platform pelbagai hala seperti PBB, ESCAP, ASEAN, ACMECS, BIMSTEC dan ACD, bersama perjanjian pelbagai hala, kini lebih penting dalam usaha kolektif mencapai matlamat tersebut.
Paetongtarn turut melahirkan kebimbangan bahawa rantau Asia-Pasifik, walaupun menyumbang lebih separuh daripada pertumbuhan ekonomi global, menyaksikan ketidaksamaan yang semakin melebar.
“Jika kita meneliti Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), kita dapat melihat bahawa pada 2024, lebih 84 peratus daripada sasaran SDG telah menunjukkan kemajuan terhad atau tanda-tanda kemunduran,” katanya, sambil menambah bahawa ini memerlukan usaha baharu dan penyelesaian inovatif untuk mencapai SDG dan memacu pembangunan mampan di rantau ini.
Beliau menegaskan bahawa di Thailand, Falsafah Ekonomi Kecukupan – pendekatan pembangunan tempatan yang berpusatkan rakyat dan berpaksikan alam sekitar – telah menjadi prinsip panduan dalam pembangunan negara dan pencapaian SDG.
“Kami telah dan akan terus berkongsi pendekatan pembangunan dan amalan terbaik kami dengan semua rakan kongsi yang berminat,” tambahnya.
CS81, yang bermula pada Isnin dan berlangsung sehingga 25 April, menghimpunkan menteri dari seluruh Asia dan Pasifik, serta pihak berkepentingan lain, untuk bertukar pandangan mengenai isu dasar semasa dan baru muncul demi pembangunan inklusif dan mampan di rantau ini.
[Bernama]
Author Profile
