PRN Johor - Kelabu Atau Hitam, Keadilan Tetap Ada - Calon DUN Johor Lama | Malaysia News

PRN Johor – Kelabu atau hitam, Keadilan tetap ada – Calon DUN Johor Lama

Omar Mokhtar A Manap - PKR - PRN Johor

PRN Johor – Kelabu atau hitam, Keadilan tetap ada – Calon DUN Johor Lama

Kerusi deposit atau tidak, kubu kuat atau tidak, bagi Omar Mokhtar A Manap, 29, prinsip dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu dipegang erat, iaitu mesej reformasi harus dibawa ke mana sahaja dalam negara ini.

Atas sebab itu, calon pilihan PKR untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama itu berkata, beliau sanggup menggalas tanggungjawab itu untuk membuktikan generasi muda dalam parti, tidak gentar untuk ke mana sahaja.

Ia meskipun Johor Lama seringkali dikaitkan sebagai kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN) berdasarkan keputusan pilihan raya yang lepas.

‘FIXED DEPOSIT’ TIADA MAKNA JIKA TIADA PERUBAHAN

Beliau berkata, sejarah pilihan raya sebelum ini menunjukkan bagaimana parti itu mengambil risiko untuk meletakkan calon di kawasan yang dikategorikan sebagai ‘hitam’, dan akhirnya berjaya menjadi wakil rakyat.

“Kita faham, sesuatu tempat dilihat sebagai ‘fixed deposit’ parti tertentu, akhirnya kemajuan itu tidak sampai ke tempat itu. Dia (parti itu) rasa tidak mengapa, buat macam mana pun rakyat akan undi di situ.

“Satu perkara lagi, kita nak tunjukkan anak muda dalam Keadilan, bersedia beri penerangan ke mana saja, berjumpa dengan rakyat di mana saja.

“Lapisan masyarakat bagaimana sekali pun, walaupun orang kata tempat itu hitamlah, kelabulah, kita lihat tanggungjawab kita untuk memberi penerangan kepada rakyat, tak kira tempat, kaum, lokasi,” katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.

PROFIL DUN N37 JOHOR LAMA

Satu ketika dahulu Johor Lama merupakan pelabuhan yang tersohor, menjadi ibu negeri dan pusat pentadbiran kepada Kesultanan Johor di bawah teraju Sultan Alauddin Riayat Shah II.

Terletak di lokasi strategik untuk memenuhi kriteria pelabuhan, iaitu berhampiran tebing Sungai Johor, Johor Lama telah melalui proses kemusnahan berkali-kali, dek kerana tentera Acheh sehinggalah kerana tentera Portugis.

Menginjak ke tahun 2022, Johor Lama kini merupakan sebahagian daripada Parlimen Kota Tinggi, dengan jumlah pengundi seramai 32,658 orang.

Mengulas lanjut, Omar Mokhtar berkata, Johor Lama merupakan kawasan yang kaya dengan sejarah, terletaknya Makam Laksamana Bentar atau Megat Sri Rama, serta lokasi Sultan Mahmud Mangkat Dijulang.

“Begitu banyak tempat bersejarah yang perlu dilihat dan diangkat nilainya supaya menjadi hub sejarah di Johor. Itu satu perkara. Satu perkara lagi, dalam kawasan Johor Lama, banyak kawasan pelancongan lain, Teluk Sengat, Kampung Johor Lama.

“Di Kampung Sengat tu betul betul mengadap Sungai Johor, itu antara perkara yang menarik dalam DUN Johor Lama, di samping demografik penduduk di sini lima kawasan Felda. Ada Felda Pasak, Lok Heng, Air Tawar, dan sebahagian lagi adalah kawasan bandar Kota Tinggi, sebahagian dari demografi DUN Johor Lama,” katanya lagi.

MENEMBUSI KAWASAN FELDA

Satu ketika dahulu, Omar Mokhtar berkata, kawasan FELDA merupakan kawasan yang amat sukar untuk dimasuki parti selain dari Barisan Nasional.

Kini, biarpun tidak 100 peratus, beliau berpandangan, penerimaan itu sedikit sebanyak sudah dirasai.

“Agak luar biasa sambutan masyarakat, kita datang ke Teluk Sengat, Johor Lama, datang sebelum penamaan calon. Saya Omar Moktar, calon Keadilan. Yang menariknya ialah orang kampung itu sendiri memang parti UMNO, dia sendiri bawa saya naik motor kenalkan dengan orang kampung.

Kita pergi ke Felda Lok heng, dulu tak boleh nak masuk. Saya datang ke sana, kita tahu kaedah terbaik yang perlu kita guna, masuk sampai tempat orang pergi salam. Kita jumpa dengan Pengurus Felda, kita tanya pandangan beliau, dapatkan nasihat.

“Dan turun berjumpa dengan ketua kampung, pemimpin masyarakat. Akhirnya boleh lepak minum di kedai-kedai dalam Felda Lok Heng,” katanya lagi.

Omar Mokhtar berkata, penerimaan masyarakat kini berbeza, rakyat faham apa berlaku, tetapi mereka hendakkan satu alternatif, parti lain.

Katanya lagi, PKR sebagai sebuah parti politik, mengambil pendekatan untuk mengetahui terlebih dahulu tentang permasalahan di sesuatu tempat, dan bukan sekadar untuk menyuarakannya, tetapi juga membawa solusi.

PILIHAN RAYA NEGERI JOHOR

Pada pilihan raya umum yang lepas, calon BN Rosleli Jahari berjaya memenangi kerusi DUN Johor Lama dengan majoriti 5,807 undi, menewaskan calon Pakatan Harapan, Nor Ashidah Ibrahim, dan calon Pas, Siti Zaharah Othman.

PRN Johor kali ni bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Omar Mokhtar (PKR, Norlizah Noh (BN), Alias Rasman (Perikatan Nasional), dan Mohd Shukor Ahmad (Parti Pejuang Tanah Air). [AA]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply