PRN Johor – Muda tanding di kerusi Puteri Wangsa, sedia tempuhi jalan panjang
PRN Johor – Muda tanding di kerusi Puteri Wangsa, sedia tempuhi jalan panjang
MUDA menegaskan ia akan bertanding di kerusi Puteri Wangsa di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata ia tetap mempertahan perjanjian dengan Amanah yang bersetuju untuk membenarkan Muda bertanding di Puteri Wangsa.
“Kami telah mengadakan perjanjian pilihan raya dengan Amanah dan DAP, kami akan mempertahankannya.
“Kami akan mempertahankan perjanjian yang kami tandatangani,” katanya pada sidang media selepas pelancaran parti itu semalam.
Kritikan terbuka Muda terhadap PKR juga tidak membantu rundingan.
Syed Saddiq membisu apabila ditanya mengenai status rundingan.
Katanya perkara itu sebaiknya diselesaikan secara tertutup dengan PKR.
Ahli Parlimen Muar itu juga memohon maaf atas kritikan terbuka Muda terhadap PKR.
“Kami menerimanya dan kami belajar daripadanya,” katanya.
Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) secara rasminya dilancarkan dan parti itu menjelaskan betapa ia bersedia untuk menghadapi perjalanan panjang walaupun jika ia berdepan kekalahan dalam pilihan raya.
Ini kerana, menurut parti itu, misi mereka adalah lebih besar daripada menang dalam satu pilihan raya.
Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika berucap kepada kira-kira 200 ahli dan pimpinan parti yang kebanyakannya dari golongan muda, berkata negara ini akan melihat kaedah baru dalam politik.
“Sudah tiba masanya untuk mencuba taktik baru yang tidak lagi memikirkan untuk menang satu pilihan raya akan datang, kerana proses mengubah Malaysia bukan untuk menang satu pilihan raya bagi tempoh lima tahun akan datang.
“Walaupun ada pandangan skeptik dan pesimis bahawa rakyat Malaysia tidak bersedia untuk parti berbilang kaum dan agama, terutamanya dalam tujuan untuk mengalahkan Umno, maka ia hujah lebuh kuat untuk parti seperti Muda untuk tidak amalkan politik memenuhi kehendak seperti itu (pandering) tetapi untuk mengubah hati dan minda Malaysia.
“Walau sesukar mana pun, kita akan tunjukkan bahawa kepelbagaian harus didakap dan bukan hanya diterima secara toleransi,” katanya.
Syed Saddiq mengingatkan bahawa Muda berdepan jalan sukar dan menggesa pemimpin dan ahli parti di semua peringkat untuk memahaminya.
“Kalian tahu bahawa jalan ke hadapan itu panjang dan penuh dengan selok beloknya. Tetapi apabila anda memilih Muda ia menunjukkan anda bukan melabur untuk PRU akan datang tetapi dalam membaik pulih sepenuhnya demokrasi Malaysia.
“(Jika kita) kalah satu pilihan raya, kalah dua pilihan raya, itu demokrasi. Tetapi semangat perjuangan Muda untuk mengubah, merombak Malaysia untuk menjadi negara yang maju, bermaruah berintegriti tidak akan tamat hanya kerana kekalahan dalam pilihan raya.
“Kita bersama di jalan ini untuk jangka masa panjang. Kita berada dalam perjuangan ini untuk dekad-dekad yang akan datang kerana menyelamatkan dan berjuang untuk Malaysia adalah berbaloi,” katanya lagi.