Kalau dedah 1MDB dianggap pengkhianat, Ini pula senarai pengkhianatan UMNO, BN
Kalau dedah 1MDB dianggap pengkhianat, Ini pula senarai pengkhianatan UMNO, BN
Hanya satu cara untuk mengalahkan Kluster Mahkamah iaitu dengan memastikan BN kalah dalam PRN Johor
Muhyiddin Yassin membidas dakwaan segelintir pihak bahawa beliau adalah ‘pengkhianat’, sehingga tumbangnya Kerajaan Pakatan Harapan, dan menjadi Perdana Menteri untuk Kerajaan Perikatan Nasional.
Muhyiddin Yassin berkata jika kerana mendedahkan skandal 1MDB yang memalukan negara suatu ketika dulu maka dia dilabel oleh Umno sebagai pengkhianat, Presiden Bersatu itu tetap rela.
Katanya kerana skandal yang melibatkan Najib Razak itu orang Melayu dan Malaysia diaibkan serta dipandang hina di seluruh dunia.
“Apakah orang Umno tidak tahu bahawa punca mereka kalah adalah kerana Najib menyeret parti dalam skandal beliau?
“Jika saya dianggap pengkhianat kerana mendedahkan skandal 1MDB dan menubuhkan Bersatu untuk menentang kumpulan kleptokrat dalam UMNO, saya rela dengan gelaran tersebut,” katanya dalam kenyataan,
SIAPA PENGKHIANAT?
1. Ada pemimpin UMNO menghasut orang Melayu supaya percaya saya pengkhianat.
2. Kononnya sayalah…
Posted by Muhyiddin Yassin on Thursday, February 10, 2022
Kata ahli parlimen Pagoh itu lagi Umno sebenarnya cuba menutup hakikat bahawa parti itu sudah dikhianati oleh bekas presiden mereka sendiri, iaitu Najib.
Najib, kata Muhyiddin, membiarkan skandal 1MDB menjadi terlalu besar dan buruk sehingga majoriti rakyat membenci Umno.
Muhyiddin yang sempat menjadi perdana menteri selepas meninggalkan Pakatan Harapan (PH) dan bekerjasama dengan Umno serta PAS untuk membentuk kerajaan baru di luar pilihan raya, menambah sebelum ini dia dipecat kerana menyarankan skandal 1MDB disiasat secara telus.
Kini, katanya, terbukti perjuangannya adalah “benar”.
“Mahkamah telah menjatuhkan hukuman ke atas Najib atas kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International yang ada hubung kait dengan 1MDB.
“Jelas skandal 1MDB bukan satu fitnah. Bukan satu rekaan,” katanya lagi.
1. Najib kata RM42 juta duit SRC yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya digunakan untuk tujuan sedekah dan…
Posted by Muhyiddin Yassin on Friday, February 11, 2022
Dalam perkongsian terbaharu di Facebooknya, Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata, beliau mengakui kedudukannya sebagai Perdana Menteri adalah juga kerana sokongan pihak yang beliau sendiri dakwa sebagai ‘Kluster Mahkamah’,
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, provokasi pihak tertentu bahawa beliau tidak ‘malu’ adalah tidak berasas kerana tidak pernah sekalipun beliau berkempen untuk menjadi Perdana Menteri.
“Ya, saya jadi Perdana Menteri kerana disokong oleh Ahli-ahli Parlimen termasuk daripada Kluster Mahkamah. Ada orang kata tidak malukah saya terima sokongan Kluster Mahkamah untuk jadi Perdana Menteri.
“Saya tidak minta untuk jadi Perdana Menteri. Saya tidak pernah berkempen pun untuk jadi Perdana Menteri.
“Saya hanya mengikut apa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Apabila saya mendapat sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen, saya dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri. Maka sahlah pelantikan saya itu,” tegasnya lagi.
Kata Muhyiddin lagi, akhirnya, beliau sedar bahawa sokongan pemimpin-pemimpin kanan UMNO itu adalah bersyarat, sambil mendakwa, mereka berjumpa dengan beliau untuk dilepaskan dari tindakah mahkamah.
Mengulas lanjut mengenai permohonan kumpulan pemimpin UMNO itu, Muhyiddin berkata, beliau tegas tidak mahu melayani permintaan tersebut, biarpun kedudukannya sebagai Perdana Menteri tergugat.
“Saya juga tidak melantik sesiapa pun yang sedang didakwa di mahkamah atau sedang dalam siasatan pihak berkuasa untuk menjadi anggota Kabinet saya walaupun mereka berjawatan tinggi dalam parti UMNO.
“Saya buat perkara yang betul, jadi buat apa saya berasa malu?” soalnya kembali.
Ekoran pendirian beliau, Muhyiddin mendakwa, bermulanya gerakan ‘Kluster Mahkamah’ itu yang bukan sahaja menentang beliau sebagai Ketua Kerajaan, malah menentang hampir setiap dasar dan inisiatif PN, biarpun ia baik untuk rakyat.
“Saudara dan saudari tentunya juga masih ingat rakaman audio seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang bercakap dalam Mesyuarat MT UMNO pada bulan Julai 2021. Dia menggesa UMNO menarik sokongan kepada saya ketika kes-kes COVID-19 sedang meningkat.
“Kononnya apabila kes-kes COVID-19 telah menurun, kerajaan PN akan mendapat kredit dan sukarlah untuk UMNO melawan PN. Itulah yang dilakukan oleh UMNO. Kira-kira sebulan selepas itu, 15 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan kepada saya dan jatuhlah Kerajaan Perikatan Nasional,” katanya lagi.
Muhyiddin bagaimanapun berkata, ekoran PN masih berada dalam Kerajaan Persekutuan, perancangan ‘Kluster Mahkamah’ itu masih belum berhasil, lantas membuat strategi untuk menyingkirkan PN dalam pentadbiran persekutuan dan negeri, termasuk Pilihan Raya Negeri Johor.
Dakwanya lagi, strategi itu bermula selepas BN menang PRN Melaka, sehingga mereka yakin bahawa rakyat telah kembali menyokong mereka, walaupun BN hanya mendapat 38.5 peratus undi.
“Mereka memilih Johor kerana Johor dikatakan negeri kubu kuat UMNO. Jika parti mereka menang PRN Johor, mereka akan mendesak Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen supaya Pilihan Raya Umum pula dapat diadakan.
“Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah Perdana Menteri tetapi yang menguasai UMNO adalah Presiden UMNO. Apabila Parlimen dibubarkan, yang berkuasa menentukan calon yang akan bertanding dan mengetuai parti dalam pilihan raya adalah Presiden, bukan Perdana Menteri,” katanya lagi.
Jika itu terjadi, Muhyiddin berkata, persoalan mengenai siapa sebenarnya ‘pengkhianat’ akan menjadi lebih terang lagi bersuluh, dan itu perlu dielakkan oleh rakyat negeri Johor.
“Sebagai orang Johor, saya percaya pengundi di negeri Johor adalah bijaksana. Saya tidak fikir Bangsa Johor yang beradab, berhemah dan tinggi nilai moral dan agamanya rela membiarkan PRN Johor digunakan sebagai alat untuk Kluster Mahkamah dan kleptokrat kembali berkuasa.
“Hanya satu cara untuk mengalahkan Kluster Mahkamah iaitu dengan memastikan BN kalah dalam PRN Johor,” katanya lagi. [MK] [AA]
Baca:
Najib Razak (Bossku) – Muhyiddin Yassin (Abah) berbalah
Kalau Najib tak faham bahasa saya, saya nak buat macam mana?
Muhyiddin malu dikait dengan parti yang angkat pesalah jenayah berat sebagai Boss