Muhyiddin malu dikait dengan parti yang angkat pesalah jenayah berat sebagai Boss
Muhyiddin malu dikait dengan parti yang angkat pesalah jenayah berat sebagai Boss
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata ada hikmah partinya tidak bekerjasama dengan Umno.
Kata Muhyiddin, dia malu dikaitkan dengan parti yang mempunyai “boss” yang sudah didapati bersalah oleh mahkamah atas kesalahan jenayah berat.
“Ada hikmah Bersatu tidak bekerjasama dengan Umno. Jadi Bersatu tidak terpalit dengan masalah moral yang membelenggu pemimpin Umno.
“Secara peribadi saya malu untuk dikaitkan dengan parti yang masih mengangkat seorang yang telah didapati bersalah oleh mahkamah atas satu kesalahan jenayah berat sebagai boss,” katanya dalam satu kenyataan.
Dia berkata demikian sebagai respons kepada bekas perdana menteri Najib Razak yang mengkritik Bersatu ketika Umno dilihat cuba mengatur langkah untuk menjadi dominan semula.
Umno pada 22 Jan lalu bertindak untuk membubarkan kerajaan BN-PN di Johor tanpa berunding dengan Bersatu atau PAS yang merupakan sebahagian daripada PN, dalam usaha jelas menggulingkan mereka daripada kerajaan negeri supaya BN boleh memerintah sendiri.
Najib, yang telah disabitkan dengan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram, menjelaskan bahawa tindakan Umno itu adalah kerana Bersatu mengkhianati mereka semasa pilihan raya negeri (PRN) Sabah pada 2020.
Bagaimanapun, Muhyiddin berkata Bersatu tidak pernah bertanding menentang Umno di mana-mana kerusi semasa PRN Sabah.
Sebaliknya, dia berkata sebarang konflik adalah sama ada antara BN dan PBS atau BN dan rakan PN lain.
Muhyiddin berkata semasa menjadi perdana menteri pada masa itu, dia telah cuba memastikan tidak akan berlaku sebarang pertembungan antara BN, PN dan PBS melalui pembentukan jawatankuasa rundingan.
“Saya dimaklumkan di peringkat awalnya jawatankuasa ini telah memutuskan sejumlah kerusi untuk ditandingi oleh parti-parti PN, BN dan PBS.
“Tetapi BN kemudiannya menambah jumlah kerusi yang hendak ditandingi dan ini menyebabkan berlaku pertembungan dengan PN di beberapa tempat,” katanya.
Muhyiddin berkata dia cuba menyelamatkan keadaan dengan berangkat ke Kota Kinabalu untuk rundingan saat akhir menjelang hari penamaan calon tetapi tidak dapat memecahkan kebuntuan.
“Pada saat itu, Bersatu adalah satu-satunya parti yang tidak meletakkan calon di kerusi-kerusi yang ditandingi oleh rakan-rakan dalam PN, BN dan PBS.
“PAS pula mengambil langkah terhormat dengan tidak bertanding di mana-mana kerusi.
“Jadi saya tidak faham dengan tuduhan Najib bahawa Bersatu mengkhianati Umno dalam PRN Sabah dengan meletakkan calon menentang Umno dan itu menjadi punca Muafakat Nasional (MN) gagal,” katanya.
MN adalah pakatan pilihan raya antara Umno dan PAS dengan usaha untuk memasukkan Bersatu kemudiannya tetapi ia runtuh apabila hubungan Umno dengan PAS dan Bersatu semakin tegang.
Muhyiddin berkata dia sudah melupakan Muafakat dan tidak perlu menyebutnya lagi.
Dia turut menyangkal tuduhan yang mengatakan Bersatu melalui PN merampas jawatan ketua menteri Sabah daripada BN yang diterajui Umno.
“Saya telah menyatakan kepada Zahid Hamidi, Presiden Umno supaya menamakan calon ketua menteri Sabah daripada Umno. Tetapi dia tidak menamakan sesiapa pun sehinggalah kempen PRN Sabah berakhir.
“Kerana itu saya telah menamakan Hajiji Mohd Nor sebagai calon ketua menteri Sabah daripada PN sekiranya PN memenangi jumlah kerusi yang terbesar dalam kalangan parti-parti yang membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) .
“Dalam PRN Sabah, PN menang 17 kerusi, BN 14 kerusi dan PBS 7 kerusi. Ini menjadikan PN sebagai parti yang memenangi jumlah kerusi terbanyak dalam kalangan parti-parti GRS.
“Maka PN telah mencalonkan Hajiji sebagai ketua menteri Sabah dan pencalonan ini dipersetujui oleh Adun GRS termasuk Umno,” kata Muhyiddin.
GRS terdiri daripada BN, PN dan PBS. BN dianggotai Umno, MCA, MIC dan PBRS manakala PN dianggotai Bersatu, PAS, Star, SAPP dan Gerakan. PBS adalah parti yang berpusat di Sabah.
“Adakah saya khianat? Saya tidak khianat. Saya beritahu Umno supaya menamakan calon. Sekiranya Umno tiada calon, saya ada calon yang ingin diketengahkan. Saya bersikap telus dan berterus terang dengan Umno.
“Najib janganlah memutarbelitkan fakta. Apa yang berlaku dalam PRN Sabah bukanlah sebab MN gagal,” katanya.
Ahli parlimen Pagoh itu juga meminta Najib beremuhasabah diri dan tidak bermain politik jelik.
“Anda telah didapati bersalah oleh mahkamah atas satu kesalahan jenayah yang berat. Sepatutnya ada sedikit rasa malu.
“Dalam Islam, malu itu adalah sebahagian daripada iman. Tetapi malangnya di dalam Umno, seorang yang telah disabitkan dengan kesalahan jenayah yang disifatkan sebagai ‘national embarrassment’ oleh mahkamah diangkat sebagai boss dan dilaungkan slogan ‘malu apa bossku’.
“Di mana letaknya keimanan? Di mana maruah?” soalnya. [MK]
Author Profile
Latest entries
- Seni & HiburanDecember 13, 2024Nabila Razali amalkan zikir permudah bersalin
- NationalDecember 13, 2024Kelantan alami kerugian RM30 juta akibat banjir
- SukanDecember 12, 2024Harimau Malaya menang tipis 3-2
- NationalDecember 12, 2024Universiti Malaya lancarkan Allianz Centre for Governance
2 thoughts on “Muhyiddin malu dikait dengan parti yang angkat pesalah jenayah berat sebagai Boss”