PRN Johor - Rundingan Parti Muda Dengan PH Berlangsung Baik | Malaysia News
Parti Muda - Pakatan Harapan

PRN Johor – Rundingan Parti Muda dengan PH berlangsung baik

Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sudah memulakan rundingan dengan gabungan Pakatan Harapan (PH) sebagai persediaan parti itu untuk menyertai pilihan raya tidak lama lagi.

Pengerusi Muda Johor, Mohd Azrol Ab Rahani, berkata setakat ini rundingan tersebut masih di peringkat biro politik parti itu bagi menentukan kawasan mana yang akan ditandingi mereka.

Katanya Muda juga masih belum memutuskan dengan siapa parti itu akan bekerjasama nanti.

“Dengan siapa kami akan kerjasama, hal itu masih lagi dalam rundingan namun rundingan berkenaan berlangsung dalam keadaan yang baik,” katanya.

Tambah Mohd Azrol ketika ini belum ada keputusan yang muktamad buat Muda bahawa mereka akan benar-benar bekerjasama dengan PH ataupun sebaliknya

Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan secara rasmi pada 22 Jan lalu selepas Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menandatangani watikah mengenainya pada hari tersebut.

Langkah itu sekali gus membuka jalan kepada pelaksanaan PRN diadakan di negeri berkenaan tidak lama lagi.

Umno mendakwa PRN berkenaan perlu diadakan kerana mereka menjadi kerajaan dalam keadaan majoriti tipis iaitu satu kerusi. Bagaimanapun parti lain – sama ada pembangkang atau yang bekerjasama dengan Umno – menganggap PRN tidak wajar diadakan pada waktu ini.

Sesetengah pihak melihat langkah tersebut juga bertujuan untuk Umno mengukuhkan penguasaan parti di negeri tersebut dan secara tidak langsung mengetepikan parti lain dalam kerajaan termasuk Bersatu dan PAS.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat pada 9 Feb ini bagi membincangkan tarikh PRN berkenaan.

Mohd Azrol berkata Muda juga belum memutuskan bagaimana mereka akan menyertai PRN kali ini sama ada menggunakan logo sendiri atau PH.

“Tapi apa yang saya boleh jelaskan ialah, Muda mahu menonjolkan kepentingan parti yang masih baru ini di peringkat negeri.

“Kami lebih kepada mahu memperkenalkan logo kami kepada rakyat,” katanya. [MK]

Facebook Comments