Proklamasi Darurat Kerajaan PN Didakwa Ada ‘Udang Di Sebalik Batu’ | Malaysia News

Proklamasi Darurat Kerajaan PN didakwa ada ‘Udang di Sebalik Batu’

Proklamasi Darurat Kerajaan PN didakwa ada ‘Udang di Sebalik Batu’

Kuala Lumpur, MTN – Pelaksanaan Proklamasi Darurat oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) didakwa ada ‘udang di sebalik batu’.

Ini kerana, hampir semua darurat yang pernah diisytiharkan di negara ini termasuk yang sedang berkuatkuasa, rata-rata ada perkara “tersembunyi” bagi mencapai kepentingan tertentu oleh golongan pemerintah.

Memperincikan mengenai perkara itu, Felo Akademi Sains Malaysia, Profesor Emeritus Jomo Kwame Sundaram berkata, faktor utama pelaksanan darurat bukan didorong oleh keperluan tetapi kepentingan tertentu pihak berkuasa.

Katanya, darurat pada tahun 1948 dibuat disebabkan pemberontakan komunis yang dilakukan oleh British bagi mengekalkan Malaya sebagai tanah jajahan penting di rantau ini.

Manakala darurat pada 1964 adalah kerana konfrontasi dengan Indonesia yang dilaksanakan British untuk menjaga kepentingan tanah jajahannya yang telah terangkum dalam Malaysia.

Menurut Jomo, darurat pada 1966 di Sarawak pula dilakukan bagi menyingkirkan Stephen Kalong Ningkan sebagai ketua menteri.

“Darurat pada 1969 pula adalah akibat rusuhan kaum dan itu dilakukan oleh kerajaan antaranya, kerana Parti Perikatan tidak mendapat majoriti undi dalam pilihan raya umum ketiga tahun itu, namun dengan cara tersendiri, dapat berkuasa di banyak negeri dan di peringkat nasional.

“Darurat pada tahun 1978 pula kerana rusuhan di Kelantan yang dilakukan agar BN dapat menguasai kerajaan negeri Kelantan pada ketika itu.

“Jadi apa yang jelas, kita dapat lihat semua pengisytiharan darurat terdapat ‘udang di sebalik batu’.

“Ada niat tertentu pihak yang berkuasa untuk mengisytiharkan darurat. Bukan apa yang diperlukan, tetapi ada kepentingan-kepentingan tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ‘Darurat dan Mudarat Ekonomi’ yang dianjurkan Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat di sebuah hotel di ibu negara hari ini.

Sidang media itu dipengerusikan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, yang juga pengerusi jawatankuasa berkenaan.

Selain Jomo, sidang media berkenaan turut disertai dua lagi pakar ekonomi iaitu Dr Nungsari Ahmad Radhi dan Dr Muhammed Abdul Khalid.

Menilai situasi Covid-19 yang sedang melanda negara dan tindakan kerajaan bagi menanganinya dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pengisytiharan darurat, Jomo berkata, tindakan-tindakan seperti itu sebenarnya lebih memudaratkan ekonomi berbanding kesan langsung Covid-19 itu sendiri.

“Kita dapati bahawa kesan langsung daripada segi ekonomi wabak itu tidak seberapa.

“Tetapi, kesan tidak langsung, iaitu akibat daripada langkah-langkah dikenakan oleh pihak kerajaan itulah yang memudaratkan ekonomi,” ujarnya.

Jomo turut mengkritik pelaksanaan PKP yang baginya bukan pendekatan terbaik bagi menangani Covid-19, sebaliknya ia hanya meninggalkan kesan buruk terhadap ekonomi negara.

Untuk rekod, selain enam darurat disebut Jomo (termasuk darurat kini), ada lagi beberapa darurat dalam sejarah Malaysia, iaitu darurat jerebu pada tahun 1997, 2005 dan 2013 di wilayah tertentu, serta darurat Parlimen Batu Sapi pada 2020 yang membatalkan pilihan raya kecil dilakukan di situ ketika penularan Covid-19.

Pelaksanaan darurat terbaru berkuatkuasa dari 11 Januari hingga 1 Ogos ini, diwartakan setelah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Yang di-Pertuan Agong dan menasihati baginda akan keperluan pelaksanaannya bagi membendung penularan Covid-19.

Rentetan daripada itu menyebabkan sidang Parlimen Malaysia digantung. [MG]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply