Rafizi Ramli minta cabang, pimpinan PKR buat laporan terhadap Najib Razak

Rafizi Ramli minta cabang, pimpinan PKR buat laporan terhadap Najib Razak
Cabang-cabang dan pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) seluruh negara diminta untuk membuat laporan polis terhadap kecuaian Datuk Seri Najib Tun Razak semasa menjadi Perdana Menteri sehingga membawa kepada tuntutan waris kesultanan Sulu.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa, Najib wajar mengambil tanggungjawab atas kegagalan dan kecuaiannya semasa menjadi Perdana Menteri di antara 2013 hingga 2017 yang membawa kepada tuntutan waris kesultanan Sulu yang kini dibebankan kepada setiap pentadbiran kerajaan persekutuan selepasnya.
“Apabila negara mula mengetahui mengenai tuntutan waris kesultanan Sulu yang melibatkan aset Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bernilai sekitar RM9 bilion baru-baru ini, Najib cepat-cepat cuba mengalihkan fokus rakyat dengan menuding jari kepada pentadbiran-pentadbiran selepas beliau.
“Sedangkan kertas timbang tara secara jelas menunjukkan fakta notis tuntutan itu telah disampaikan kepada pentadbiran beliau bertarikh 2 November 2017.
“Tuntutan itu juga bermula selepas pentadbiran beliau menghentikan bayaran kepada waris kesultanan Sulu sejak 2013 lagi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya pada Isnin.
Tambah Rafizi, undang-undang memperuntukkan bahawa rakyat boleh mengambil tindakan undang-undang sama ada di bawah kanun jenayah atau tindakan saman sivil terhadap mana-mana penjawat awam yang telah cuai dalam menjalankan tugas awam.
“Dalam kes ini, kecuaian Najib semasa menjadi Perdana Menteri telah mendedahkan negara kepada tuntutan aset sebanyak RM67.5 bilion,” ujarnya.
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu turut memanjangkan jemputan kepada aktivis akar umbi Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP di seluruh negara untuk bersama-sama PKR menyertai siri laporan polis. [SH]
Author Profile

Latest entries
KesMarch 6, 20251MDB – Mahkamah sekat akses akaun bank luar negara
SukanMarch 5, 2025Reijnders Pemain TimNas Indonesia kekal di AC Milan hingga 2030
IT & Social MediaMarch 4, 2025Aplikasi CIMB Clicks akan ditamatkan sepenuhnya pada 12 April 2025
TokohFebruary 26, 2025Mahathir dan Jokowi bertemu di Solo, bincang hal Malaysia-Indonesia