Rasuah Dan 'Katak Politik' Dalam Kerajaan PN Amat Serius | Malaysia News
May 11, 2021

Rasuah dan ‘Katak Politik’ dalam Kerajaan PN amat serius

Kuala Lumpur, MTN – Dakwaan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengenai isu berkaitan rasuah dengan budaya lompat parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini, amat serius walaupun pendedahan itu agak terlambat.

Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dakwaan itu dianggap serius kerana ia didedah oleh seorang Ketua Polis Negara (KPN).

Katanya, pendedahan itu mengesahkan lagi tanggapan umum bahawa kerajaan PN banyak terpalit dengan pelbagai aktiviti jual beli pemimpin politik untuk terus kekal berkuasa, di kala rakyat sedang tenat bertarung nasib untuk kelangsungan hidup seharian.

“Saya katakan pendedahan itu agak terlambat kerana, Ketua Polis Negara hanya bersuara ketika diambang pengakhiran kontrak beliau, sedangkan rasuah yang terkait dengan lompat parti sudah bermula di zaman Pakatan Harapan (PH) lagi.

“Ketika itu, apabila ramai diugut dan ditekan dengan pelbagai kes mahkamah dan cukai, bahkan ditawar dengan pelbagai ganjaran untuk lompat parti menyertai PPBM bagi perkukuhkan kerajaan PH.

“Kemudian diteruskan pula di zaman PN apabila ramai disucikan daripada pendakwaan dan penyiasatan, bahkan secara terang-terangan merealisasikan agenda ‘Scheme of Thing’ yang dikaitkan dengan audio pemimpin tertinggi kerajaan PN dengan pelbagai tawaran kedudukan dan posisi penting Kabinet dan GLC,” katanya menerusi posting Facebooknya, hari ini.

Semalam, Abdul Hamid dalam sidang media sebelum persaraannya, mengakui kurang senang dengan campur tangan Menteri Dalam Negeri dalam pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Malah beliau mengakui hubungannya dengan Datuk Seri Hamzah Zainuddin memang tidak harmoni.

Abdul Hamid mendakwa sikap Hamzah mempolitikkan PDRM sejak jadi menteri mengecewakannya dan ia berbeza semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi menteri sebelum itu.

Advertisement

Malah beliau juga telah bersemuka, namun tidak ada jalan penyelesaian kerana Hamzah masih mahu kuasa dalam PDRM.

Dr. Asyraf bagaimanapun, menjelaskan, sebelum nasi menjadi bubur, amat wajar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan segera.

Ini katanya, bagi menyelamatkan negara daripada berterusan dirundung persepsi buruk bukan sahaja rakyat, tetapi masyarakat antarabangsa betapa bobroknya budaya rasuah politik yang mampu menjahanamkan Malaysia tercinta.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan Abdul Hamid.

Jelas beliau, RCI perlu menyiasat tuduhan yang dibuat secara terbuka oleh Ketua Polis Negara itu dengan menuduh Hamzah campur tangan kenaikan pangkat dan pertukaran pegawai yang bermasalah.

“Dia (Abdul Hamid) juga buat banyak tuduhan lain, termasuk isu katak yang dikaitkan dengan rasuah.

“Hamzah pula tidak menafikan audio mirip suaranya adalah tulen. Isu pokok yang perlu diselesaikan ialah tuduhan IGP dan butiran dalam audio tersebut.

“Justeru, RCI perlu ditubuhkan untuk menyiasat perkara tersebut. Ini kerana PDRM adalah agensi penguatkuasa paling penting dan kritikal untuk negara,” katanya.

Kata beliau, PDRM mesti didokong kuat oleh pegawai yang profesional dan berintegriti supaya keadilan dan keselamatan terjamin.

Namun, apabila Abdul Hamid menuduh Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang dipengerusikan Hamzah dicemari oleh unsur politik, maka kredibiliti PDRM tercemar. [MG]

Advertisement
Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •