Saksi Rakam Mesyuarat Khas 1MDB Secara Rahsia | Malaysia News

Saksi Rakam Mesyuarat Khas 1MDB Secara Rahsia

Saksi Rakam Mesyuarat Khas 1MDB Secara Rahsia

PASUKAN Pengauditan Khas oleh Jabatan Audit Negara (JAN) terkejut apabila mengetahui Laporan Audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diubah dan kewujudan dua versi berbeza penyata kewangan syarikat itu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengarah Audit (Tadbir Urus) Jabatan Audit Negara, Nor Salwani Muhammad ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Beliau memberi keterangan dalam kes membabitkan Datuk Seri Najib Razak yang didakwa menggunakan kedudukannya bagi meminda Laporan Akhir 1MDB, sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Arul Kanda Kandasamy.

Mahkamah sebelum ini dimaklumkan bahawa mesyuarat khas itu dipengerusikan oleh bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa, diadakan bagi membincangkan isu 1MDB atas arahan Najib.

Mesyuarat itu turut dihadiri bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib iaitu Tan Sri Shukry Mohd Salleh, bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dan Arul Kanda.

Terdahulu, Nor Salwani mengakui bahawa beliau tidak masuk ke dalam mesyuarat khas itu sebaliknya, ketua pasukan iaitu Saadatul Nafisah Bashir Ahmad (Bekas Pengarah Audit) yang mengikuti perjalanan mesyuarat.

“Oleh kerana saya tidak dibenarkan masuk ke dalam mesyuarat, saya memasukkan alat perakam ke dalam kotak pensil milik Saadatul Nafisah tanpa pengetahuannya.

“Saya berbuat demikian kerana perlu mengambil minit mesyuarat itu. Mesyuarat itu adalah berhubung audit 1MDB, saya dan pasukan pula perlu menyediakan laporan audit syarikat itu. Disebabkan itu saya membuat rakaman,” katanya.

Rakaman suara berdurasi dua jam 45 minit itu diperdengarkan di dalam mahkamah.

SRI RAM: Selepas itu apa kamu buat?

SALWANI: Saya mengambil semula rakaman itu dan pulang ke pejabat sebelum memainkan rakaman mesyuarat untuk didengar bersama rakan pasukan lain (Pasukan Pengauditan Khas). Selepas mendengarnya, kami terkejut dengan apa yang berlaku sebelum membuat salinan audio ke dalam cakera keras (hard disk) milik pasukan.

SRI RAM: Kenapa kamu terkejut?

SALWANI: Ia adalah kerana kami mendengar ada permintaan untuk memadam beberapa perkara daripada laporan dan kewujudan dua penyata kewangan 1MDB.

Terdahulu, Nor Salwani memberitahu mahkamah bahawa Ambrin kelihatan sedih dan lemah sebaik sahaja keluar daripada bilik mesyuarat pada hari berkenaan.

SRI RAM: Boleh beritahu mahkamah apa yang terjadi?

SALWANI: Saya melihat Ambrin keluar daripada bilik mesyuarat bersama Saadatul Nafisah menuju ke bilik air. Ketika itu saya mendengar dia bercakap kepada dirinya sendiri ‘Apa tujuan audit?’.

SRI RAM: Bagaimana wajah Ambrin ketika itu?

SALWANI: Beliau kelihatan sedih dengan apa yang berlaku.

SRI RAM: Kenapa kamu mengikut beliau ke bilik air?

SALWANI: Saya bimbang dengan keadaan beliau ketika itu. Dia kelihatan lemah dan sedih.

Sementara itu menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, saksi kelima itu mengakui bahawa beliau tidak mendapatkan kebenaran untuk merakamkan perjalanan mesyuarat itu.

SHAFEE: Kamu tidak mendapatkan kebenaran untuk merakam?

SALWANI: Saya rasa tidak perlu minta kebenaran.

SHAFEE: Adakah Ambrin atau Saadatul Nafisa tahu kamu meletakkan alat perakam?

SALWANI: Saya tidak berpeluang untuk beritahu.

SHAFEE: Awak tidak beritahu mana-mana pegawai KSN untuk tujuan itu?

SALWANI: Ya tetapi Saadatul Nafisa dan Ambrin tahu dalam keadaan normal memang akan ada buat rakaman.

SHAFEE: Dalam keadaan normal ada letak alat perakam secara terbuka?

SALWANI: Ia bagi pihak yang berkenaan sahaja bukan semua pihak.

SHAFEE: Adakah ini biasa sepanjang 22 tahun kamu bekerja, kamu tiada dalam mesyuarat, kamu masukkan alat perakam dalam kotak pensil?

SALWANI: Pernah buat tetapi tidak banyak, ada satu atau dua kali apabila ada keperluan khas.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung Rabu depan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 4:39 PM
-hmetro

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply