Sekolah Dibuka Semula Isnin Ini | Malaysia News
April 13, 2021

Sekolah dibuka semula Isnin ini

Kuala Lumpur, MTN – Setelah melalui rentetan episod dalam sistem pendidikan negara yang menyaksikan pengoperasian sekolah terpaksa mengikut ‘rentak’ angka Covid-19, akhirnya sekolah dibuka semula secara berperingkat mulai Isnin ini.

Pembukaan semula sesi persekolahan itu melibatkan murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua di sekolah rendah seluruh negara pada 1 Mac, diikuti Tahun Tiga, Empat, Lima dan Enam bermula 8 Mac.

Sekolah menengah pula akan memulakan sesi persekolahan pada 4 April bagi sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala bagi negeri-negeri lain pada 5 April.

Walaupun masih dihimpit situasi pandemik yang belum reda, langkah itu perlu diambil bagi mengimbangi keperluan akses pendidikan dalam keadaan selamat sambil memastikan pelajar tidak jauh ketinggalan dalam pembelajaran.

Lebih-lebih lagi apabila ibu bapa, guru dan pelajar terpaksa menghadapi ‘kejutan budaya’ ketika konsep Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) terpaksa dilaksanakan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Covid-19, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Berdepan masalah utama seperti pemilikan peranti dan akses internet murid yang dikhuatiri mengakibatkan keciciran pelajar dalam kalangan golongan B40, luar bandar dan kawasan pedalaman, senario itu menyedarkan bahawa kaedah pembelajaran secara bersemuka adalah lebih berkesan.

Menjelaskan rasional keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) itu, Menterinya, Senator Datuk Dr Radzi Jidin sebelum ini dilaporkan berkata ia dibuat secara teliti dan pendekatan diambil berdasarkan input serta maklum balas daripada semua pihak.

“Keputusan membenarkan pelajar sekolah rendah untuk mengikuti sesi persekolahan lebih awal adalah bagi memberi ruang kepada murid dan guru menyesuaikan diri dengan suasana norma baharu dan juga prosedur operasi standard (SOP) Covid-19,” katanya.

Advertisement

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin sebelum ini pula berkata, seramai 55,539 guru yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi akan diusahakan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 pada fasa pertama program imunisasi itu.

Tidak mengambil mudah aspek SOP, KPM turut mengedarkan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula dan Model Pengawalan Keberadaan Murid di Pintu Pagar Sekolah, mengandungi panduan pengurusan dalam pelbagai aspek ketika penularan Covid-19 kepada semua sekolah di seluruh negara.

Garis panduan itu merangkumi aspek bermula murid sampai ke pintu pagar sekolah, ketika murid berada di sekolah dan SOP ketika pulang.

Pembukaan sekolah bermula Isnin juga menyaksikan KPM membenarkan pelajar memakai pakaian biasa yang sesuai, kemas serta sopan untuk hadir ke sekolah jika belum mempunyai pakaian seragam sekolah.

KPM menyatakan kebenaran tersebut diberikan bermula 1 hingga 26 Mac ini iaitu sehingga cuti pertengahan penggal persekolahan sesi 2021.

Selain sekolah rendah, Kolej Vokasional juga akan dibuka pada 1 Mac manakala sekolah antarabangsa dan institusi pendidikan swasta kategori pusat termasuk pusat tuisyen akan dibuka pada 8 Mac.

Bagaimanapun sesi persekolahan yang sepatutnya bermula 1 Mac ini ditangguhkan selama 14 hari lagi di sembilan daerah di Sarawak iaitu Kuching, Samarahan, Julau, Meradong, Sibu, Kapit, Bintulu, Subis dan Miri berikutan kes angka Covid-19 yang tinggi.
– Bernama

Advertisement
Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •