Kuala Lumpur, 12 Jun 2019 – Selepas beberapa jam Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali menafikan video seks yang dikaitkan dengan beliau, kini tersebar pula video seks bahagian kedua.
Klip sepanjang kira-kira 90 saat itu kelihatan dirakam dalam bilik sama dan memaparkan dua lelaki sama seperti dalam tiga video lebih awal dan ditularkan sejak petang Selasa.
Seorang individu yang tidak dikenali telah mewujudkan satu kumpulan Whatsapp dan kemudian memasukkan pelbagai individu termasuk wartawan dan ahli politik di dalamnya.
Kumpulan Whatsapp itu bertajuk ‘Azmin Ali bahagian 2/4’, memaklumkan bahawa baki dua lagi klip akan disebarkan, menurut laporan Malaysiakini.
Video bahagian kedua ini memaparkan wajah mirip menteri tersebut dengan lebih jelas berbanding video kemarin.
Secara keseluruhan Malaysiakini mendapat ada sekurang-kurangnya lima kumpulan WhatsApp seumpama itu dibuka dengan nombor berbeza, tetapi semuanya bermula dengan “011”.
Ia juga dipercayai wujud serentak kira-kira jam 6.55 petang tadi.
Terdahulu, Azmin, yang juga adalah timbalan presiden PKR, menafikan pembabitan dirinya dalam klip video bahagian pertama, yang dikeluarkan kira-kira jam 1.25 pagi, Selasa lalu.
Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai fitnah kejam dan komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.