Sidang Parlimen Singkat Tidak Sah? | Malaysia Top News
May 27, 2020

Sidang Parlimen Singkat Tidak Sah?

Tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memendekkan sidang Parlimen 18 Mei ini kononnya ancaman wabak Covid-19 masih lagi belum reda dilihat sebagai alasan yang tidak munasabah.

Menurut Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen, keputusan mengadakan sidang singkat dan hanya mendengar titah Yang di-Pertuan Agong boleh menjerumuskan sidang yang berlangsung ke kancah kontroversi.

‪Kata William, jika tiada urusan majlis mesyuarat sebagaimana yang terkandung dalam Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat seperti sesi pertanyaan Jawab Lisan, Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, Usul-Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 17, 18, 26, 27, 49 serta apa-apa Usul daripada Ahli-Ahli Dewan Rakyat, persidangan boeh dianggap tidak sah.

“Kalau tak ada pertanyaan Jawab Lisan, perbahasan di Dewan Rakyat, persidangan ini tidak sah. Ini bukan persidangan yang membawa isu rakyat, ia adalah mesyuarat di mana Ahli-Ahli Parlimen datang duduk dan dengar sahaja.

“Hanya istiadat pembukaan dan Titah Diraja oleh Yang Dipertuan Agong saja berlaku, ini bukan persidangan Dewan Rakyat yang membela nasib rakyat,” katanya.

Selain itu, keputusan memendekkan sidang juga, kata William, membuktikan Muhyiddin belum mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen sehinggakan beliau tidak berani untuk menghadapi usul undi tidak percaya yang dibawa oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadapnya.

“Alasan sidang dipendekkan kerana wabak Covid-19 tidak munasabah sebab seluruh dunia juga alami perkara yang sama. Malah, negara lain bersidang melalui Skype, Zoom dan apa sahaja teknologi terkini agar isu rakyat dapat dibahaskan.

“Tindakan Muhyiddin itu lebih menunjukkan beliau tidak cukup sokongan Ahli Parlimen. Sengaja pendekkan sidang dan tolak usul tidak percaya terhadapnya dengan alasan wabak Covid-19.

“Apa perlu ditakutkan? Dewan Rakyat sudah dipindahkan ke bangunan yang besar dan ada penjarakkan sosial, tiada isu untuk bersdiang cuma sehari sahaja.

“Oleh itu, parlimen tidak menjalankan kerja dengan baik, yang jadi mangsa adalah rakyat. Isu rakyat tak dapat dibawa ke parlimen,” katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.

Dalam pada itu, William menjelaskan sidang yang dipanggil kerajaan Muhyiddin kali ini adalah sekadar memenuhi syarat Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan agar Parlimen tidak terbubar.

“Kalau Muhyiddin buat sidang parlimen pada 13 Julai depan misalnya, ini bermakna Parlimen boleh terbubar kerana melebihi had masa selama 6 bulan. Sebab itu 18 Mei ini hanya membenarkan acara pembukaan dan Titah Diraja saja.

“Usul tidak percaya terhadapnya boleh ditangguhkan selama 2 bulan lagi dan dalam masa itu beliau boleh berusaha untuk mendapatkan sokongan yang cukup daripada Ahli Parlimen,” tegasnya.

SuaraKeadilan

Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •