SPR Tangguh Undi 18 Amat Mengecewakan | Malaysia News
May 11, 2021

SPR Tangguh Undi 18 Amat Mengecewakan

Kuala Lumpur, MTN – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bersama Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan undi 18 dengan segera.

Kedua-dua pemimpin itu juga akan membangkitkan perkara tersebut dalam mesyuarat Jemaah Menteri kelak.

Menurut Khairy Jamaluddin kenyataan SPR bahawa pelaksanaan undi 18 dan pendaftaran automatik hanya selepas 1 September tahun depan amat mengecewakan, sama sekali tidak boleh diterima dan bercanggah.

Ini kerana Pengerusi SPR pada 7 Jun tahun lalu memaklumkan bahawa segala persiapan termasuk pindaan undang-undang, peraturan pilihan raya sedia ada serta penyediaan sistem dan infrastruktur akan diselesaikan selewat-lewatnya pada Julai tahun ini.

Justeru, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, pengumuman SPR semalam bakal menyaksikan penangguhan melebihi satu tahun daripada sasaran yang ditetapkan sebelum ini.
Undi18 boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022 – SPR

Undi18: SPR sengaja melengah-lengahkan – Persatuan Pengundi Muda

Menurut Khairy, pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi Undi 18 dan pendaftaran automatik telah mendapat sokongan penuh kesemua Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Julai 2019.

“Harus diingatkan, kenyataan SPR pada tahun lalu ini hanyalah ulangan kepada kenyatan yang dikeluarkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, mendiang Datuk V.K Liew pada Oktober 2019 yang telah menetapkan sasaran yang sama iaitu Julai 2021 sebagai permulaan pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik,” katanya dalam kenyataan.

Advertisement

Beliau menegaskan, alasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjejaskan perancangan dan persiapan SPR juga tidak munasabah memandangkan PKP telah pun dilaksanakan semenjak lebih setahun yang lalu.

Malah, jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) di Dewan Rakyat pada November tahun lalu juga masih mengekalkan sasaran Julai 2021 bagi pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik ini.

“Tidak sampai lima bulan selepas jawapan di Dewan Rakyat ini dikeluarkan, SPR secara tidak semena-mena mengumumkan penangguhan pelaksanaannya kepada lebih satu tahun iaitu September 2022 berbanding Julai 2021,” katanya.

Beliau berkata, kenyataan SPR berkenaan gerak kerja bagi tujuan libat urus bersama parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) juga menimbulkan tanda tanya.

SPR, katanya, seharusnya memberi penjelasan lanjut berkenaan program libat urus memandangkan proses tersebut bukan lagi perkara berbangkit kerana Undi 18 telah dipersetujui di peringkat tertinggi proses membuat undang-undang dalam negara ini iaitu Parlimen Malaysia.

Proses libat urus juga sepatutnya boleh berlangsung sepanjang masa tanpa sedikitpun perlu menjejaskan tempoh masa yang telah diumumkan sebelum ini.

Penurunan umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun serta pendaftaran automatik bukanlah hasrat kerajaan terdahulu semata-mata.

Malah, menurut Khairy, ia telah mendapat persetujuan kesemua parti politik termasuklah menerusi Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang telah membuat pindaan Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan sokongan 2/3 majoriti Dewan. [mg]

Advertisement
Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •