Sultan Johor Beri Amaran Bubar DUN Jika Ada Pihak Mahu Jatuhkan Kerajaan Negeri | Malaysia News

Sultan Johor Beri Amaran Bubar DUN Jika Ada Pihak Mahu Jatuhkan Kerajaan Negeri

Sultan Johor Beri Amaran Bubar DUN Jika Ada Pihak Mahu Jatuhkan Kerajaan Negeri

Iskandar Puteri, MTN – Sultan Johor memberi amaran tidak akan teragak-agak untuk membubarkan Dewan Negeri Johor jika berlaku keadaan yang menjatuhkan kerajaan negeri.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, baginda tidak akan melayan permainan politik mana-mana wakil rakyat yang terus bertelagah sampai menganggu-gugat negeri Johor dan kerajaan.

“Jika berlaku keadaan yang menjatuhkan kerajaan saya sekarang, maka saya tidak teragak-agak untuk membubarkan Dewan Negeri Johor.

“Saya rasa saya tidak perlu ada wakil rakyat jika masing-masing hanya fikirkan tentang kedudukan sendiri, bukannya kepentingan rakyat,” tegas baginda ketika bertitah merasmikan pembukaan penggal persidangan ke-4 Dewan Negeri Johor yang ke-14.

Titah baginda, dewan negeri ini adalah tempat untuk membuat ketetapan bagi kepentingan rakyat dan negeri Johor.

Oleh itu, jangan cemarkan dewan ini dengan perangai buruk.

“Ini adalah dewan yang mulia, bukannya dewan sangkar beruk. Ingat pesanan saya tuan Speaker. Jalan kerja baik-baik,” titah baginda lagi.

Titah Sultan Ibrahim lagi, ini bukannya masa untuk berbalah, tetapi masa untuk bersatu dan bekerjasama.

“Jangan tanya kepada orang lain apa yang telah dibuat untuk membantu rakyat, tetapi lihatlah cermin nuka sendiri,” ujar baginda.

Tambah baginda, ahli-ahli dewan tidak perlu berbahas atau membawa usul yang tidak berkenaan.

“Awak semua jangan pentingkan diri sendiri. Rakyat di luar sana tengah susah, ada yang kelaparan. Ada yang hilang pekerjaan. Dan ada juga yang sedang bertarung nyawa akibat Covid-19.

“Oleh itu saya nasihatkan kepada semua ahli dewan supaya menggunakan sesi persidangan ini untuk berbincang dan menyusun pelan tindakan bagi menolong rakyat dan membangunkan semula negeri Johor,” titah baginda.

Menurut Sultan Ibrahim, baginda akan menyerahkan kepada rakyat untuk memilih ahli dewan undangan negeri (ADUN) yang baharu selepas wabak Covid-19 terkawal.

“Selepas ini pilihlah betul-betul pemimpin yang jujur dan ikhlas mahu berkhidmat untuk rakyat,” titah baginda ketika merasmikan pembukaan penggal persidangan ke-4 Dewan Negeri Johor yang ke-14.

Menurut baginda, untuk membangunkan semula ekonomi selepas wabak, kerajaan negeri perlu bekerja keras membantu para peniaga dan juga menarik pelabur luar agar banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan.

Sehubungan itu, baginda berharap Kerajaan Puast memberikan perhatian dan membantu pembangunan negeri ini dengan lebih banyak lagi terutama dalam bidang kesihatan dan infrastruktur jalan raya.[MG]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply