Sultan Nazrin Shah berkenan melancarkan program Masjid Angkat Maybank Islamic
Sultan Nazrin Shah berkenan melancarkan program Masjid Angkat Maybank Islamic
MTN – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan berangkat melancarkan program Masjid Angkat Maybank Islamic dan penyerahan wakalah zakat Maybank di Masjid Jamek Medan Klebang Restu, Chemor.
Ketibaan Sultan Nazrin kira-kira pukul 12.50 tengah hari itu disambut Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.
Sultan Nazrin kemudian berkenan menunaikan solat sunat dua rakaat dan seterusnya melancarkan program tersebut dalam suasana pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Baginda berkenan menyaksikan penyerahan replika cek wakalah zakat Maybank Islamic berjumlah RM98,923.76 daripada Ahli Lembaga Pengarah Maybank Islamic Dali Sardar kepada Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Sharul Azam Shaari.
Sumbangan yang disampaikan melalui 19 masjid terpilih itu antara lain bagi membantu para pelajar daripada golongan asnaf yang kurang berkemampuan di sekitar negeri Perak.
Program Masjid Angkat Maybank Islamic merupakan inisiatif untuk merealisasikan transaksi tanpa tunai di masjid-masjid negeri Perak menggunakan aplikasi Maybank QR Pay bagi tujuan infak atau derma kepada masjid berkenaan.
Di bawah inisiatif ini, setiap cawangan Maybank di negeri Perak akan bekerjasama dengan pihak masjid di sekitar cawangan bank tersebut bagi membantu proses pendaftaran serta menyediakan kod QR untuk dipaparkan di sekitar masjid dan setakat ini sebanyak 21 masjid telah menyertainya.
Sultan Nazrin kemudian menyertai ratusan jemaah lain untuk mendengar khutbah Jumaat yang disampaikan Imam Masjid Jamek Medan Klebang Restu, Chemor Mohd Najib Arsyad bertajuk ‘Berwaspada Sewaktu Memberi dan Mengutip Derma’.
Jemaah antara lain diingatkan supaya bersedekah kerana ia amalan mulia dengan pahala berlipat ganda namun perlu berhati-hati kerana wujud pihak yang membuat penipuan dengan menggunakan kanak-kanak dan warga emas kononnya membina masjid dan lain-lain lagi selain menggunakan nama persatuan kebajikan bagi membuat rayuan.
“Ini akan menyebabkan kutipan derma tidak sampai ke pihaknya seperti anak yatim. Ini adalah perbuatan tercela dan berdosa. Salah guna kutipan derma dijanjikan neraka kelak,” pesan Mohd Najib.
Usai solat Jumaat, Sultan Nazrin kemudian sempat bertegur sapa dengan beberapa jemaah sebelum berangkat meninggalkan masjid kira-kira pukul 1.50 tengah hari. [AA]
Author Profile
Latest entries
- Seni & HiburanNovember 14, 2024Siti Nurhaliza dinobat Biduanita Negara – ASN 2024
- NationalNovember 14, 2024Pendedah maklumat utus surat terbuka pada YDPA
- NationalJuly 4, 2024Kuala Lumpur Fashion Week 2024 – Taman KLCC
- NationalJuly 3, 2024RM699 juta bina Hospital wanita dan kanak-kanak di Melaka