Sultan Selangor Kecewa Perbuatan Hina Keperibadian Nabi Muhammad | Malaysia News

Sultan Selangor kecewa perbuatan hina keperibadian Nabi Muhammad

Sultan Selangor kecewa perbuatan hina keperibadian Nabi Muhammad

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan kekecewaan dengan perbuatan menghina keperibadian junjungan besar Rasulullah SAW oleh segelintir golongan bukan Islam sejak kebelakangan ini.

Setiausaha Dewan Diraja Selangor Hanafisah Jais dalam satu kenyataan berkata, baginda menzahirkan kekecewaan itu selepas berbincang dengan ahli-ahli Dewan Diraja Selangor pada hari ini.

Sehubungan itu beliau berkata, bagi membendung gejala penghinaan ini agar tidak terus berlaku tanpa kawalan, Sultan Selangor mengingatkan rakyat terutama yang bukan beragama Islam, supaya menghentikan perbuatan mempersendakan keperibadian Rasulullah SAW dan mencemar kesucian agama Islam.

Ini kerana, katanya, perbuatan tersebut bukan sahaja boleh menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat, malah boleh menyebabkan rusuhan antara kaum serta agama yang akan mengakibatkan permusuhan berpanjangan antara kaum di negara ini.

“Kejadian penghinaan terhadap Rasulullah SAW serta isu-isu yang mencemar kesucian agama Islam kerapkali berlaku dan telah sampai ke tahap mencabar kesabaran umat Islam. Agama Islam yang merupakan agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan seharusnya perlu sentiasa dihormati oleh setiap rakyat di negara ini,” katanya.

Menurut Hanafisah, walaupun perbuatan penghinaan terhadap Rasulullah SAW dan kesucian agama Islam merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang dan tindakan undang-undang serta hukuman juga telah dikenakan terhadap mereka yang melakukannya, ia masih tetap berlaku dan seolah-olah tiada kesan terhadap tindakan undang-undang yang diambil terhadap golongan ini.

“Sejarah telah menunjukkan sesebuah negara boleh menjadi porak-peranda sekiranya rakyat bermusuhan atas sebab tidak menghormati agama yang dianuti oleh pelbagai kaum.

“Sebagai Raja yang merupakan ketua agama Islam negeri Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menegaskan bahawa memelihara maruah agama Islam serta maruah junjungan Rasulullah SAW merupakan tuntutan utama dalam maqasid syariah dan menjadi tanggungjawab umat Islam untuk sentiasa mempertahankannya,” katanya.

Oleh itu, Hanafisah menegaskan, peringatan Sultan Selangor ini perlu diambil serius oleh rakyat keseluruhannya terutama golongan bukan Islam jika inginkan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan kaum dan agama di negara ini terus kekal.

Katanya, peringatan oleh baginda bukan sekadar untuk golongan bukan Islam tetapi termasuk juga kepada umat Islam di mana mereka sendiri perlu sentiasa berwaspada dalam melontarkan sebarang pandangan berkaitan dengan agama lain.

Beliau seterusnya berkata, Ahli-ahli Dewan Diraja Selangor menjunjung segala titah Sultan Selangor dan turut berasa terkesan dengan kekecewaan yang dizahirkan oleh baginda berkaitan dengan isu penghinaan terhadap Rasulullah SAW dan agama Islam.

“Ahli-ahli Dewan Diraja Selangor menggesa supaya pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Peguam Negara mengambil berat akan peringatan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dengan mengambil langkah-langkah berkesan dan efektif bagi menangani masalah ini.

“Penyiasatan terperinci terhadap mereka yang disyaki melakukan kesalahan perlu segera dilaksanakan dan tindakan pendakwaan diambil terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab ini sekiranya terdapat keterangan yang mencukupi,” katanya.

– Malaysiakini
– Bernama

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply