Sultan Selangor zahir rasa sukacita kelulusan pembinaan hospital di Kapar

Sultan Selangor zahir rasa sukacita kelulusan pembinaan hospital di Kapar
Shah Alam, MTN – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa sukacita apabila dimaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah meluluskan pembinaan sebuah hospital awam di daerah Kapar.
Perkara itu dizahirkan baginda ketika berkenan menerima menghadap Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada Isnin.
Turut berkenan berangkat ke majlis itu Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Mohd Shafiq Abdullah dan Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.
Menurut hantaran di laman Facebook Selangor Royal Office menyatakan perancangan pembinaan hospital itu sudah lama dibuat bagi menampung peningkatan ketara bilangan pesakit di negeri tersebut khususnya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
“Baginda turut mencadangkan kepada Menteri Kesihatan agar Kerajaan Persekutuan memberi tumpuan untuk menaik taraf hospital awam di kawasan luar bandar agar rakyat boleh mendapatkan perkhidmatan dan rawatan kesihatan yang lebih baik,” katanya.
Kenyataan itu turut memaklumkan baginda diberi taklimat ringkas mengenai situasi semasa di hospital awam dalam menangani kes berkaitan COVID-19.
Susulan itu, Sultan Sharafuddin sekali lagi menyeru rakyat agar mendapatkan suntikan vaksin masing-masing mengikut jadual yang ditetapkan kerajaan tanpa ragu-ragu meskipun perlu mengambil suntikan pada bulan Ramadan.
Baginda turut menegaskan rakyat perlu terus kekal menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan menbiasakan diri menjalani kehidupan seharian mengikut norma baharu demi menghapuskan penularan COVID-19. -Bernama
Author Profile

Latest entries
KesMarch 6, 20251MDB – Mahkamah sekat akses akaun bank luar negara
SukanMarch 5, 2025Reijnders Pemain TimNas Indonesia kekal di AC Milan hingga 2030
IT & Social MediaMarch 4, 2025Aplikasi CIMB Clicks akan ditamatkan sepenuhnya pada 12 April 2025
TokohFebruary 26, 2025Mahathir dan Jokowi bertemu di Solo, bincang hal Malaysia-Indonesia