Kerajaan Negeri Johor dijangka bakal tumbang

Kerajaan Negeri Johor dijangka bakal tumbang
MTN – Kerajaan negeri sedia ada dijangka tumbang apabila sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dibuka ekoran kenyataan dibuat Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad di Perhimpunan Agung UMNO 2020, Ahad lalu.
Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, hal itu tidak mustahil sekiranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri memboikot Hasni.
Jelasnya, kenyataan Hasni itu membayangkan keretakan yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri ketika ini.
“Ini suatu situasi yang genting apabila ugutan Menteri Besar secara jelas mengisytiharkan untuk bertanding di Pagoh yang akan membuka ruang perpecahan berlaku dalam kerajaan negeri.
“Hasni kena ingat, kerajaan Johor yang bermajoritikan hanya satu kerusi ini terlalu rapuh dan sekiranya ADUN Bukit Gambir, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri dan beberapa ADUN Bersatu memboikot Hasni, maka kerajaan akan runtuh.
“Ini suatu semangat yang tidak baik bagi kestabilan politik di negeri ini. Saya jangkakan sekiranya sidang DUN dibuka maka akan ada penolakan berlaku terhadap kepimpinan Hasni di Johor,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dzulkefly yang juga ADUN Kota Iskandar memberitahu, sekiranya berlaku kejatuhan kerajaan negeri ia sekali lagi memberi peluang kepada Pakatan Harapan (PH) untuk memerintah semula.
Katanya, PH di Johor sebelum ini masih membuka pintu untuk sesiapa sahaja menjalin kerjasama bagi memastikan kestabilan politik.
“Ia boleh jadi peluang atau boleh jadi suatu cabaran baru sebagai ADUN di negeri ini kerana ini adalah rekod pertama kali kerajaan negeri yang paling tidak stabil dalam sejarah.
“Pastinya hari ini kerajaan Johor tidak akan berada dalam keadaan yang baik kerana situasi cantas mencantas antara Bersatu dan UMNO pasti berlaku selepas ini,” katanya. -Utusan
Author Profile

Latest entries
NationalNovember 21, 2025UPSI lancar lima inisiatif integriti perkukuh tadbir urus universiti
NationalNovember 21, 2025Kewartawanan penyiasatan kekal berdaya tahan
NationalNovember 14, 2025UPSI rai pengorbanan ibu dalam kejayaan anak di Istiadat Konvokesyen
EkonomiNovember 13, 2025MOF – RM17.5 Bilion demi Kesejahteraan Rakyat Sabah



