Sultan Sharafuddin - Hukuman Pada Selangor FC Tak Berperikemanusiaan | Malaysia News

Sultan Sharafuddin – Hukuman pada Selangor FC tak berperikemanusiaan

Sultan Sharafuddin – Hukuman pada Selangor FC tak berperikemanusiaan

Sultan Sharafuddin – Hukuman pada Selangor FC tak berperikemanusiaan

Sultan Sharafudin Idris Shah hari ini menzahirkan perasaan murka baginda ekoran perkembangan terkini melibatkan pasukan Selangor FC yang dihukum oleh Malaysian Football League (MFL) dan FAM.

Dalam kenyataan hari ini baginda turut memetik secara khusus nama Presiden FAM Hamidin Mohd Amin yang dianggap “langsung tidak serius bersuara” sedangkan dia merupakan bekas setiausaha agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

“Beta amat murka dengan keputusan terbaharu MFL ini yang beta anggap tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan, dan tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin juga berpandangan bahawa hukuman yang dijatuhkan oleh MFL ke atas Selangor FC sebagai tidak masuk akal dan amat berlebihan memandangkan kemenangan telah pun diberikan kepada pasukan lawan.

“Beta kini hanya berperanan sebagai penaung di dalam FAS.

“Namun jika beta merupakan peneraju kepimpinan FAS dan Selangor FC, beta tidak teragak-agak untuk menarik keluar pasukan Selangor daripada Liga Super untuk tempoh masa tertentu,” titah baginda lagi.

Semalam MFL mengumumkan pihaknya mendenda Selangor FC sebanyak RM100,000 manakala mata yang diperolehi pasukan itu dalam saingan Liga Super musim ini dipotong tiga mata.

Keputusan itu dibuat selepas Ahli Lembaga Pengarah MFL mengadakan mesyuarat bagi membincangkan ketidakhadiran Selangor FC pada perlawanan Piala Sumbangsih menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim di Johor pada 10 Mei lalu.

Skuad Gergasi Merah juga perlu membayar pampasan kerugian ditanggung JDT selaku pasukan tuan rumah perlawanan pembukaan dan MFL, dengan jumlahnya akan dimaklumkan kelak.

Tidak cukup dengan itu, MFL juga menetapkan bahawa perlawanan Liga Super minggu ke-14 di antara Selangor dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan berlangsung tanpa penonton.

Untuk rekod sebelum ini Selangor menarik diri daripada menyertai perlawanan Piala Sumbangsih menentang JDT susulan insiden jenayah serta ancaman membabitkan pemain sayap mereka, Faisal Abdul Halim.

Menurut Sultan Sharafuddin, hasil jasa yang disumbangkan Hamidin, Selangor berkenan mengurniakan pingat kebesaran kepadanya sebelum ini.

Sultan Sharafuddin bertitah pada 5 Mei lalu satu kes jenayah serangan asid yang mengancam nyawa menimpa Faisal yang juga ikon bola sepak Selangor serta Malaysia.

Rasa sangat pelik

Ia kemudian diikuti beberapa lagi insiden serangan terhadap pemain bola sepak profesional pada minggu yang sama.

“Disebabkan itu, beta telahpun memberi perkenan kepada Selangor FC untuk menghantar permohonan penangguhan perlawanan Piala Sumbangsih kerana para pemain Selangor FC masih dalam keadaan trauma dan ketakutan.

“Bagaimanapun MFL telah menolak permohonan penangguhan tersebut dan memberi kemenangan 3-0 serta kejuaraan Piala Sumbangsih kepada pihak lawan.

“Beta berpandangan bahawa hukuman yang dijatuhkan iaitu denda sebanyak RM100,000, bayaran pampasan kerugian ditanggung tuan rumah dan MFL, pemotongan tiga mata serta hukuman menjalankan perlawanan tanpa penonton adalah tidak masuk akal dan amat berlebihan memandangkan kemenangan telah pun diberikan kepada pasukan lawan,” tidak baginda lagi.

Tambah Sultan Sharafuddin, baginda mula terlibat dalam arena bola sepak tempatan sejak 1968 iaitu ketika FAS diterajui Harun Idris sehingga baginda bersara pada 1990.

Menurut baginda, apa yang berlaku sekarang tidak pernah disaksikannya berlaku dalam sejarah.

“Sukan yang sepatutnya menjadi platform perpaduan antara berbilang kaum dan rakyat kini telah dicemari keganasan.

“Lebih teruk lagi, MFL dan FAM langsung tidak serius bersuara dan mengambil langkah-langkah berjaga-jaga yang perlu mengenai aspek keganasan dan kezaliman yang berlaku terhadap pemain-pemain.

“Beta juga amat pelik kerana MFL dan FAM tidak menunjukkan rasa simpati dan belas kasihan terhadap pihak-pihak yang teraniaya dalam isu ini.

“Harus diingat, apa yang berlaku ini bukan sahaja akan mencemar kredibiliti sukan bola sepak di negara ini, malah boleh membunuh semangat dan hala tuju pasukan Selangor FC,” titah baginda lagi.

Dalam kenyataan sama, Sultan Sharafuddin mengingatkan bahawa bola sepak begitu digemari dan terbukti menyatupadukan rakyat Malaysia sebelum ini.

“Tindakan-tindakan melampau MFL langsung tidak melambangkan semangat ini dan hanya akan merosakkan imej industri bola sepak tempatan serta sokongan orang ramai terhadap sukan yang kita cintai ini.

“Beta ingatkan kepada MFL, buatlah keputusan dengan berhati-hati,” titah baginda.

Sementara itu, Stadium Astro melaporkan MFL memberikan Selangor FC tempoh empat hari untuk membuat rayuan terhadap hukuman yang dikenakan terhadap mereka.

Memetik kenyataan Pengarah Eksekutif MFL, Stuart Ramalinggam, saluran sukan itu melaporkan apabila rayuan diterima mereka akan membuat penelitian sebelum mengeluarkan keputusan dalam tempoh sehingga sebulan. [MK]

Facebook Comments

Author Profile

Wahyu Basyir
Wahyu Basyir

About The Author

Leave a Reply