TikTok: Pengguna di AS dakwa tapisan kini lebih ketat

TikTok: Pengguna di AS dakwa tapisan kini lebih ketat
Los Angeles: Pengguna TikTok di Amerika Syarikat mendakwa terdapat penapisan yang lebih ketat selepas platform itu dapat diakses semula susulan perintah eksekutif daripada Presiden, Donald Trump.
Mereka mendakwa banyak strim langsung tidak kelihatan dan beberapa aktiviti dialih keluar atau ditandakan sebagai kandungan berbahaya kerana melanggar garis panduan komuniti, walaupun pada kandungan yang dibenarkan sebelum ini.
Selain itu, pengguna juga mendakwa mereka melihat lebih banyak penyederhanaan kandungan, seperti hasil carian yang terhad, serta amaran tentang maklumat tidak tepat dan gesaan untuk pengguna menyemak sumber mereka.
Namun begitu, TikTok memaklumkan dasar dan algoritma mereka tidak berubah, dan sedang bekerja keras bagi memastikan aplikasi itu dapat distabilkan dengan segera.
“Tiada perubahan dalam dasar dan algoritma kami.
“Kami bekerja keras untuk mengembalikan operasi kami di AS dan menjangkakan ketidakstabilan buat sementara waktu, yang boleh memberi kesan kepada ciri TikTok atau akses pengguna kepada aplikasi,” kata TikTok dalam satu kenyataan kepada Reuters.
TikTok juga berkata garis panduan mereka jelas, iaitu tidak membenarkan kandungan yang mempromosikan pengganas dan keganasan, atau kebencian.
Sebelum ini, presiden Trump telah berikrar untuk mencari penyelesaian kepada larangan TikTok di AS, dengan beberapa pembida telah dikenal pasti.
[AA]
Facebook Comments
Author Profile

Latest entries
IT & Social MediaFebruary 14, 2025Tim Cook acah pengenalan produk Apple pada 19 Februari – iPhone SE
IT & Social MediaFebruary 14, 2025YouTube Shorts mula perkenal ciri janaan video dikuasakan AI
IT & Social MediaFebruary 13, 2025DeepSeek berupaya pacu penerimagunaan AI di Malaysia
Seni & HiburanFebruary 12, 2025G-Dragon, Bintang K-Pop kembali dengan jelajah dunia selepas 8 tahun