Tok Him: ‘PAS macam Pelacur’
Tok Him: ‘PAS macam Pelacur’
MTN – Kerana dilihat selalu tidak konsisten serta tidak berpendirianlah maka PAS digelar sebagai pelacur politik, kata Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Ibrahim Ali.
Menurut Ibrahim dia percaya analogi digunakan Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, ke atas PAS itu juga sesuai dengan perbuatan parti berkenaan ketika ini.
“Tengku Razaleigh cuba memberi gambaran mengenai pendirian PAS yang dilihat tidak konsisten dan tidak berpendirian.
“Maka, itu yang mungkin disebut pelacur, kerana pelacur sifatnya mencari makan di merata-rata tempat, tak kira siapa demi bayaran dan imbuhan,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Ibrahim yang sebelum ini pernah bertanding untuk kerusi parlimen Pasir Mas – dan menang – atas tiket PAS berkata, orang ramai sedia maklum parti itu menggunakan slogan Islam untuk meraih sokongan.
Namun katanya apabila mereka kemudian menukar pendirian dan dilihat tidak konsisten seperti sebelumnya PAS tampil mengeluarkan berbagai dalil untuk menghalalkan apa yang mereka lakukan.
Terdahulu, Tengku Razaleigh dilaporkan berkata PAS boleh dianggap seperti “pelacur” politik dan Umno perlu menewaskan parti itu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight baru-baru ini, ahli parlimen Gua Musang selama 12 penggal itu berkata tindak-tanduk PAS dalam pilihan raya kecil sebelum ini membuktikan mereka tidak boleh dipercayai.
Enggan layan provokasi
“Di (pilihan raya kecil) Tanjung Piai, ketika mereka dah bersama dengan kita, PAS tidak mengundi kita, mereka ada 3,000 ahli di Tanjung Piai tapi tidak sampai 1,000 yangundi kita. Mereka bukan rakan kongsi yang jujur. Begitu juga di Semenyih.
“PAS macam pelacur, sekejap (sokong) DAP, sekejap Semangat 46,” kata bekas presiden Semangat 46 itu merujuk kepada parti yang pernah dipimpinnya pada penghujung 1980 -an sebelum kembali menyertai Umno pada 1996.
Ibrahim berkata, sejarah membuktikan PAS tidak konsisten dalam berpolitik kerana pernah berada dalam Barisan Altrnatif (BA), kemudian Pakatan Rakyat (PR) dan kini bersama Perikatan Nasional (PN).
Sementara itu Naib Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari, dilihat berlapik kata semasa membalas kenyataan Tengku Razaleigh.
Kini menjadi ahli parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli berkata Tengku Razaleigh agar berhati-hati mengeluarkan kenyataan.
“Hati-hati Ayoh Ku (Tengku Razaleigh) ssaloh kaki (terseliuh kaki) lebih baik dari ssaloh lidoh (salah bercakap),” katanya yang turut memuat naik gambar dia bersama pemimpin Umno terbabit.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata mesyuarat Jawatankuasa Induk Perundingan Muafakat Nasional (MN) pada Rabu lalu menetapkan kedua-dua pihak tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menguriskan hati satu sama lain.
“Juga tidak melayani sebarang unsur provokasi yang boleh merenggangkan hubungan kedua parti yang sudah terjalin.
“Jika hendak diungkit segala permasalahan dan peristiwa lampau, sudah tentu masing-masing boleh menyelongkar 1,001 cerita pahit dan perit yang dialami,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini. [mk]