UMNO Bakal Terima Padah Jika Tolak Jawatan TPM | Malaysia News

UMNO bakal terima padah jika tolak jawatan TPM

UMNO bakal terima padah jika tolak jawatan TPM

UMNO bakal terima padah jika tolak jawatan TPM

Shah Alam, MTN – Kepimpinan UMNO bakal menerima padah sekiranya bertegas menolak tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang didakwa sedang dikemukakan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Dr Abdul Aziz Rahman berkata, sekiranya desas-desus tawaran jawatan TPM itu adalah benar, UMNO perlu muhasabah diri dan sukarela menerimanya demi menjayakan agenda penyatuan ummah dan orang Melayu.

Menurutnya, secara tersirat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin sebenarnya sudah mengangkat ‘bendera putih’ terhadap UMNO untuk membolehkan dua parti itu berdamai dan membentuk koalisi perdana parti Melayu bersama Pas.

“Apabila proklamasi darurat berjaya meredakan kemelut politik tanah air, strategi Muhyiddin kini pastinya terarah kepada usaha menyatupadukan kuasa politik orang Melayu melalui penyusunan kuasa tiga segi antara Bersatu, Pas dan UMNO.

“Kalau Muhyiddin hendak beri jawatan TPM kepada UMNO, saya fikir ia perlu diteruskan dengan parti itu perlu sukarela menerimanya sebagai komitmen perkongsian kuasa antara Bersatu dan UMNO.

“Orang UMNO sebenarnya sudah muak dengan kerenah kepimpinan UMNO yang sering menongkah arus dengan kerajaan PN.

“Sekiranya tawaran perdamaian melalui jawatan TPM pun ditolak, saya bimbang Ahmad Zahid akan menerima padah dan dipinggirkan ahli parti,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas desas-desus Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedang menawarkan jawatan TPM kepada UMNO sebagai solusi bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sinar Harian difahamkan tawaran jawatan TPM itu bakal menjadi salah satu agenda perbincangan pucuk kepimpinan UMNO dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti yang dijangka diadakan pada Jumaat malam.

Abdul Aziz juga mengulangi cadangan supaya Muhyiddin menawarkan jawatan TPM bukan sahaja kepada UMNO, bahkan kepada Pas serta salah seorang ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak.

Jelas beliau, langkah itu akan menguatkan lagi rangka kerja Muhyiddin dan PN untuk mengukuhkan peluang membentuk kerajaan stabil bagi mendepani PRU15.

“Bila proklamasi darurat dilihat semakin meredakan drama politik tanah air, Muhyiddin wajar melihat keperluan percaturan politik untuk mengukuhkan orang Melayu.

“Satu persefahaman kukuh antara parti-parti Melayu dan bumiputera wajib diwujudkan kerana sekiranya kita tersalah langkah pada PRU15, ketuanan Melayu mungkin tidak lagi wujud,” katanya.

Abdul Aziz turut menegaskan Mubarak menyokong penuh pelaksanaan proklamasi darurat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa pada bulan Januari lalu.

[sh]

Facebook Comments

Author Profile

Wahyu Basyir
Wahyu Basyir

About The Author

Leave a Reply