xAI – Elon Musk perkenal model Grok 3 saingi ChatGPT

xAI – Elon Musk perkenal model Grok 3 saingi ChatGPT
London: xAI milik Elon Musk telah memperkenalkan model kecerdasan buatan (AI) terbaharunya, Grok 3, yang didakwa lebih baik berbanding ChatGPT keluaran OpenAI, lapor agensi berita Jerman dpa.
Musk menyifatkan Grok 3 sebagai “AI paling pintar di dunia”, dan syarikat itu mendakwa ia mencatat prestasi lebih baik dalam ujian penanda aras bagi sains, matematik dan pengekodan berbanding ChatGPT, selain Google Gemini, DeepSeek dan Claude keluaran Anthropic.
Dalam siaran langsung pelancaran model baharu itu, Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX dan Tesla itu berkata Grok 3 mempunyai kuasa pemprosesan lebih 10 kali ganda berbanding model sebelumnya.
Syarikat pemula AI itu mengesahkan bahawa Grok 3 akan tersedia untuk pelanggan Premium+ di X – platform media sosial yang turut dimiliki Musk – serta menjadi sebahagian daripada langganan baharu yang dikenali sebagai SuperGrok, yang menawarkan akses melalui aplikasi mudah alih Grok dan laman sesawangnya.
Dakwaan Musk bahawa Grok mampu mengatasi ChatGPT – yang belum disahkan secara bebas – menghangatkan lagi persaingannya dengan OpenAI dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sam Altman.
Musk sebelum ini telah memfailkan dua saman terhadap OpenAI, mendakwa syarikat itu menyimpang daripada prinsip asalnya sebagai organisasi bukan berasaskan keuntungan. Minggu lepas, beliau turut membuat tawaran untuk membeli syarikat itu pada nilai US$97.4 bilion, namun ditolak oleh Altman dan Lembaga Pengarah OpenAI.
Musk, yang merupakan pengasas bersama OpenAI tetapi meninggalkan syarikat itu pada 2018 dan semakin lantang mengkritik firma berkenaan serta kepimpinannya.
Altman menolak tawaran Musk dengan menyifatkannya sebagai taktik untuk memperlahankan pesaing dalam bidang AI, yang ketika ini didominasi firma utama dari Amerika Syarikat itu. Namun, kemunculan mendadak DeepSeek bulan lepas sebagai alternatif lebih murah berpangkalan di China telah mengubah persepsi berkenaan.
Bagaimanapun, minat pelabur terhadap syarikat AI kekal tinggi, dengan laporan menyatakan OpenAI sedang berbincang untuk mendapatkan dana sekitar US$40 bilion dalam pusingan pembiayaan baharu yang akan melonjakkan nilai syarikat itu kepada kira-kira US$300 bilion.
Sementara itu, xAI dilaporkan sedang berbincang untuk memperoleh pembiayaan sekitar US$10 bilion, yang dijangka meletakkan nilai syarikat itu pada kira-kira US$75 bilion.
[Bernama]
Author Profile

Latest entries
KesMarch 6, 20251MDB – Mahkamah sekat akses akaun bank luar negara
SukanMarch 5, 2025Reijnders Pemain TimNas Indonesia kekal di AC Milan hingga 2030
IT & Social MediaMarch 4, 2025Aplikasi CIMB Clicks akan ditamatkan sepenuhnya pada 12 April 2025
TokohFebruary 26, 2025Mahathir dan Jokowi bertemu di Solo, bincang hal Malaysia-Indonesia