Zahid Hamidi Diberikan Tempoh Sehingga 7 Februari Untuk Setuju Dengan Kerajaan Baru | Malaysia News

Zahid Hamidi Diberikan Tempoh Sehingga 7 Februari Untuk Setuju Dengan Kerajaan Baru

Zahid Hamidi Diberikan Tempoh Sehingga 7 Februari Untuk Setuju Dengan Kerajaan Baru

Selain usul undi percaya kepada Tun Mahathir Mohamad bagi tujuan mengekalkannya sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal, isu lain yang turut menjadi bualan hangat ketika ini ialah pembentukan kerajaan baru yang menggabungkan Bersatu, Pas dan UMNO.

Dikatakan pembentukan kerajaan baru ini adalah usaha yang cuba dilakukan oleh Tun Mahathir untuk terus kekal berkuasa sehingga habis penggal, sekaligus mengengkari janji peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim.

Pembentukan kerajaan baru dengan sokongan UMNO dan Pas itu dengan sendirinya bermakna Tun Mahathir akan mengenepikan PKR, DAP dan Amanah sebagai rakan kongsi yang meletakkan dirinya sebagai Perdana Menteri melalui PH selepas kemenangan dalam PRU14 lalu.

Kerajaan baru yang diusahakan itu selain merupakan gabungan Bersatu, UMNO dan Pas, ia juga adalah melibatkan kumpulan Azmin Ali dalam PKR, Warisan serta sebahagian daripada GPS di Sarawak.

Sehingga ini Pas dikatakan sudah pun menyatakan persetujuan akan bersama gabungan baru itu, manakala lain-lain entiti masih lagi dijalankan usaha yang gigih bagi tujuan itu.

Tumpuan utama Tun Mahathir, selepas mendapat sokongan Pas ialah mendapatkan sokongan sepenuhnya daripada UMNO yang memiliki 39 jumlah Ahli Parlimen.

Keyakinan Tun Mahathir ialah jika blok UMNO berjaya dipautnya, memujuk yang lain-lain untuk turut bersama dalam kerajaan baru itu akan menjadi lebih mudah lagi.

Bagi tujuan tersebut, Presiden UMNO, Zahid Hamidi dan beberapa pemimpin kanan UMNO telah lebih awal dipujuk untuk bersetuju dengan usaha pembentukan kerajaan baru yang akan membawa balik parti itu ke persada kuasa semula.

Namun, yang lebih penting sebenarnya ialah dengan kembalinya UMNO berada dalam kuasa semula, kes-kes mahkamah yang dihadapi oleh beberapa pemimpin UMNO dengan sendirinya ada jalan penyelesaiannya yang mudah baginya.

Dalam erti kata lain, keinginan bersama dengan Tun Mahathir membentuk kerajaan baru ini bukan berdasarkan apa-apa asas perjuangan, sebaliknya hanya untuk menyelamatkan diri semata-mata.

Tun Mahathir ingin menyelamatkan dirinya agar dapat melahab kuasa dengan lebih lama lagi, manakala mereka yang ada kes mahkamah dapat mengelakkan daripada menjadi penghuni penjara.

Tugas Zahid Hamidi dikatakan adalah mendapatkan sokongan Ketua-Ketua UMNO Bahagian agar setuju memberi mandat sepenuhnya kepada pucuk pimpinan parti membuat sebarang keputusan berhubung pembentukan kerajaan baru itu.

Dengan adanya persetujuan itu, sebarang keputusan yang akan diputuskan oleh pucuk pimpinan UMNO untuk bekerjasama dengan Tun Mahathir akan menjadi keputusan parti.

Dalam hal ini, Zahid Hamidi diberitakan diberi masa sehingga 7 Februari ini untuk memaklumkan kepada Tun Mahathir sama ada berjaya memperolehi persetujuan tersebut atau sebaliknya.

Zahid Hamidi bersama beberapa pimpinan utama UMNO ketika ini difahamkan sedang giat menemui Ketua-Ketua UMNO Bahagian bagi mendapatkan persetujuan tersebut.

Tun Mahathir dikatakan memerlukan persetujuan itu selewat-lewatnya 7 Februari ini kerana beliau merancang untuk mengumumkan pembentukan kerajaan baru itu sebelum akhir Februari iaitu sebelum Majlis Presiden PH membuat sebarang ketetapan berkenaan tarikh peralihan kuasa kepada Anwar.

Rancangan bekerjasama ini bagaimanapun akan mengenepikan sama sekali Najib Razak dan mereka yang bersamanya kerana Tun Mahathir difahamkan bukan saja tidak sedia sama sekali bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri itu, malah ingin memastikan penjara adalah destinasi muktamadnya selepas ini.

Berjayakah Zahid Hamidi memberi berita gembira kepada Tun Mahathir menjelang 7 Februari ini?

Apakah Najib dan kumpulannya hanya akan berdiam diri saja?

Jika Zahid Hamidi memutuskan UMNO akan bekerjasama dengan Tun Mahathir, tidak mungkinkah ada Ahli Parlimen UMNO, seperti Najib dan beberapa yang lain misalnya, akan mengisytiharkan diri mereka sebagai Ahli Parlimen Bebas lantaran menolak kerjasama tersebut?

(ShahbudinHusin 02/02/2020)

Baca Juga:

Lokman: Saya Sangat Malu Kerana Saya Mempunyai Presiden (Zahid Hamidi) yang Lemah dan Tiada Jati Diri

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply