Zahid Kepada Mahathir: Kita Jumpa Di Mahkamah | Malaysia News
Zahid Hamidi - Mahathir Mohamad

Zahid kepada Mahathir: Kita jumpa di mahkamah

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata dia akan menjawab di mahkamah berhubung dakwaan Dr Mahathir Mohamad, bahawa dirinya berjumpa dengan bekas perdana menteri itu sebanyak lima kali untuk membincangkan kes jenayah yang dihadapinya.

Ini susulan afidavit mahkamah Mahathir yang berkata bahawa Zahid telah datang menemuinya lima kali antara 2018 dan 2020 dan melampirkan petikan jadual hariannya untuk membuktikan tuntutannya.

“Tak apa, kita jumpa di mahkamah,” kata Zahid kepada Malaysiakini ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menghadiri perbicaraan kes jenayah dan sedang berdepan dengan 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Zahid menyaman Mahathir berhubung kenyataannya terhadap dirinya pada sidang akhbar 23 Feb tahun ini.

Berikutan itu, Mahathir pada 17 Mei memfailkan afidavit sebagai jawapan kepada saman Zahid, dengan memberikan butiran lanjut mengenai dakwaan pertemuan itu, termasuk tarikh dan jadual hariannya pada tarikh berkenaan.

Mahathir berkata Zahid telah berjumpa dengannya pada 7 Jun 2018, 13 Sept 2018, dan setiap hari dari 23 Feb hingga 25 Feb 2020.

Dia berkata Zahid telah menyatakan kebimbangan terhadap kes mahkamahnya semasa mesyuarat itu.

Sementara itu, Zahid enggan mengulas lanjut apabila diajukan soalan berhubung ugutan Mahathir untuk menyamannya berhubung kenyataannya pada 2017, ketika dia menyebut bahawa Mahathir bukan orang Melayu.

“Saya serah pada dia (jika dia mahu saman),” kata Zahid kepada Malaysiakini.

Zahid membuat kenyataan itu pada 2017 apabila, sebagai menteri dalam negeri, dia dapati kononnya kad pengenalan (IC) bekas perdana menteri tercatat namanya sebagai “Mahathir a/l Iskandar Kutty”.

“Betullah dia (Mahathir) kata kita ini mudah lupa sebab dia anak laki-laki Iskandar Kutty.

“Orang itulah yang memperjuangkan agenda Melayu untuk mempergunakan Melayu. Bila habis madu sepah dibuang. Umno ini sebagai madu dan kita adalah sepah yang dibuang,” kata Zahid.

A/l adalah singkatan kepada ‘anak lelaki kepada’ yang biasa digunapakai kaum India di negara ini, selain mereka yang berketurunan Orang Asal. Nama Kutty ialah satu nama dalam bahasa Tamil.

Nama Melayu menggunakan gelaran ‘bin’ atau ‘binti’, suatu istilah arab yang merujuk kepada anak lelaki atau perempuan kepada seseorang. [MK]

Facebook Comments