Zahid Minta Rakyat Jangan Keliru Dengan Kenyataan PMO | Malaysia News

Zahid minta rakyat jangan keliru dengan kenyataan PMO

Ahmad Zahid Hamidi

Zahid minta rakyat jangan keliru dengan kenyataan PMO

Kuala Lumpur, MTN – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi percaya rakyat bertambah keliru apabila membaca kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) semalam.

Malah, sebelum kenyataan itu dikeluarkan, menurut Presiden UMNO, media telah melaporkan Peguam Negara terlebih dahulu datang ke kediaman Perdana Menteri di Bukit Damansara.

Kata beliau, PMO dalam kenyataan itu cuba untuk menjustifikasi tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang jelas telah menimbulkan kemurkaan Yang di-Pertuan Agong.

“Namun, nasihat saya kepada semua jangan keliru sangat dengan kenyataan PMO itu. Nanti boleh bikin stress. Tenang-tenang saja.

“Rumusannya mudah sahaja untuk difahami, iaitu semalam, Yang di-Pertuan Agong bertitah dukacita dengan tindakan kerajaan mengumum pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan baginda.

“Tuanku dukacita apa yang dipersetujui dan diperkenankan baginda semasa Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun mengadap baginda secara maya pada 24 Julai lalu, tidak dilaksanakan,” katanya menerusi Facebooknya, petang ini.

Menurut beliau, dalam sesi mengadap itu, baginda telah bersetuju dan memperkenan pembatalan semua Ordinan Darurat itu perlu dibentang dan dibahaskan di Parlimen terlebih dahulu bagi tujuan diungkaikan.

Bagaimanapun, tegas Ahmad Zahid, apa yang kerajaan lakukan ialah membatalkan Ordinan Darurat tanpa pembentangan di Parlimen, sekali gus menunjukkan kegagalannya menghormati prinsip undang-undang, malah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda.

Kata beliau, Perkara 150(2B) dibaca dengan perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat terletak pada Seri Paduka Baginda.

“Kemudian PMO mengeluarkan kenyataan memetik Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan bahawa Yang di-Pertuan Agong perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri.

“PMO kata, kerajaan sudah menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan Ordinan Darurat sebelum sidang khas Parlimen bermula melalui surat pada 23 Julai lalu.

“Justeru, kesimpulannya mungkin begini; Perdana Menteri utus surat kepada Yang di-Pertuan Agong pada 23 Julai 2021, mohon perkenan batal Ordinan Darurat sebelum Parlimen bersidang,” katanya.

Beliau berkata, pada 24 Julai lalu, Yang di-Pertuan Agong bertitah kepada Menteri (Takiyuddin) dan Peguam Negara, Ordinan Darurat tetap perlu dibentang dan dibahas di Parlimen terlebih dahulu bagi tujuan diungkaikan.

“Tetapi kerajaan tetap umum ia telah dibatalkan sebelum Parlimen bersidang dengan hujah Yang di-Pertuan Agong perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri,” katanya. [MG]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply