Anwar Baca Kenyataan Agong, Laungan ‘Derhaka’, ‘Letak Jawatan’ Ramai di Parlimen
Anwar Baca Kenyataan Agong, Laungan ‘Derhaka’, ‘Letak Jawatan’ Ramai di Parlimen
Kuala Lumpur, MTN – Dewan Rakyat kecoh dengan laungan derhaka dan gesaan supaya Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin meletak jawatan, selepas Yang di-Pertuan Agong mendedahkan kerajaan membatalkan Ordinan Darurat tanpa perkenan baginda.
“Derhaka…derhaka. Letak jawatan, rujuk dia,” kata beberapa Ahli Parlimen pembangkang ketika Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) membaca kenyataan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Anwar berkata, negara bukan sahaja menghadapi krisis Perlembagaan, tetapi kerajaan pimpinan Muhyiddin turut menghina Agong dan menipu Ahli Parlimen serta rakyat.
Ketua Pembangkang itu berkata, Agong juga menyebut secara khusus nama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan yang bertindak mengelirukan Dewan Rakyat.
“Kenyataan ini jelas menunjukkan Kabinet yang diketuai Muhyiddin telah melanggar Perlembagaan, menghina institusi diraja, khususnya Agong dan ini termasuk Takiyuddin mengelirukan Dewan.
“(Beliau) tidak bercakap benar pada Dewan dan kelirukan rakyat Malaysia. Kita tidak ada pilihan, selain tuntut Perdana Menteri letak jawatan,” katanya di Dewan Rakyat.
Anwar berkata, Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada Agong untuk membatalkan Ordinan Darurat.
Katanya, Agong menzahirkan rasa amat dukacita kerana pembatalan Ordinan Darurat tidak dikemukakan untuk mendapat perkenan baginda.
Bagaimanapun, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Rashid Hasnon menyifatkan kenyataan Agong itu sebagai “kenyataan media”.
Gobind Singh Deo (PH-Puchong) bangkit mempersoalkan kenapa Rashid melindungi menteri daripada menjawab perkara itu, selepas beliau meminta perbahasan mengenai pakej rangsangan diteruskan.
Katanya, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun perlu meletak jawatan, jika usul difailkannya semalam mengenai Takiyuddin mengelirukan Dewan Rakyat tidak dibahaskan.
“Ia satu perkara yang patut diberi keutamaan kerana isu itu sangat serius. Isu berkenaan kuasa, kenapa sehingga sekarang usul itu tidak dibahaskan?
“Bukan setakat Kota Bharu (Takiyuddin), semua menteri di situ tahu. Kenapa Speaker melindungi mereka?” soalnya.
Lebih ramai Ahli Parlimen kemudiannya menuntut Azhar, Muhyiddin dan Takiyuddin hadir di Dewan Rakyat kerana ketiga-tiganya tiada di dalam Dewan ketika ini.
Noh Omar (BN-Tanjung Karang) mencadangkan Dewan Rakyat ditangguhkan hari ini kerana timbul isu kontroversi.
“Tangguh sementara dulu. Ini perkara serius.”
Rashid kemudian menangguhkan sidang Dewan Rakyat selama 15 minit. Bagaimanapun, selepas penangguhan sidang selama 15 minit, Rashid memaklumkan Dewan Rakyat akan disambung semula 2.30 petang ini.
“Saya telah adakan sedikit perbincangan dan membuat keputusan untuk menangguhkan mesyuarat ini, kemudian dimulakan semula 2.30 petang.”[fmt]
Author Profile
Latest entries
- NationalAugust 25, 2021Fokus PRU15, Bukan Kerusi Pengerusi PH Atau Ketua Pembangkang
- NationalAugust 25, 2021Hadi Awang: Taliban dah Berubah, Jangan Percaya pada Media Jahat
- NationalAugust 25, 2021Menjelang Pengumuman Kabinet, Ulama Pas: Jangan Sesiapa Jadi ‘Abang Long’
- PolitikAugust 25, 2021Puad: Lantik Azmin Ali Sebagai TPM Umpama Bunuh Diri