Tingkatkan Perolehan Dan Kedudukan Tunai, MIDF Naikan Saranan 'Beli' Saham Pharmaniaga | Malaysia News

Tingkatkan Perolehan dan Kedudukan Tunai, MIDF Naikan Saranan ‘Beli’ Saham Pharmaniaga

Kuala Lumpur, MTN – MIDF Research (MIDF) telah menaikkan saranan ‘beli’ terhadap saham-saham Pharmaniaga Bhd berikutan jangkaan bahawa syarikat farmaseutikal itu akan mencatat pertumbuhan jualan lebih kukuh serta menyumbang kepada peningkatan perolehan dan kedudukan tunai bagi masa depan.

Pada November 2019, kerajaan telah memutuskan untuk melanjutkan perkhidmatan Pharmaniaga membabitkan pembekalan ubat-ubatan dan perubatan kepada Kementerian Kesihatan sehingga akhir 2021.

Ia turut membabitkan pemberian kontrak baharu untuk terus menyediakan perkhidmatan logistik dan pengedaran bagi kementerian tersebut kepada lebih 148 hospital kerajaan dan 1,700 klinik di seluruh negara sehingga akhir 2024.

“Bagaimana pun, menerusi kontrak baharu ini, syarikat tersebut terjejas susulan perakuan sistem maklumat farmasi belum selesai sebanyak RM247 juta yang menyebabkan kumpulan melaporkan kerugian pada suku keempat 2019,” kata firma penyelidikan itu menerusi nota penyelidikannya, hari ini.

MIDF turut menjangkakan pertumbuhan jualan perniagaan konsesi dan bukan konsesi syarikat itu yang kukuh serta menyumbang kepada peningkatan pendapatan dan kedudukan tunai Pharmaniaga di masa depan.

Selain itu, MIDF turut menyemak semula harga saham Pharmaniaga kepada RM2.35 daripada RM2.27, sebelum ini.

Pada 10.55 pagi, saham Pharmaniaga susut 17 sen kepada RM1.87 dengan sejumlah 2.51 juta saham didagangkan.

Facebook Comments