Peran Penting Pengguna Bekalan Air Bersih | Malaysia News

Peran Penting Pengguna Bekalan Air Bersih

Peran Penting Pengguna Bekalan Air Bersih

Kuala Lumpur, MTN – Masyarakat pengguna di negara ini perlu lebih proaktif sekiranya mereka mahu terus menikmati perkhidmatan bekalan air yang baik, cekap dan berterusan.

Memelihara dan mengekalkan kehijauan kawasan tadahan di samping memastikan sungai tidak dicemari sampah sarap serta bahan kimia adalah antara yang perlu dititikberatkan.

Usaha ini penting agar kawasan berkenaan dapat terus menyimpan serta membekalkan air mentah yang berkualiti sama ada pada musim hujan atau musim kering agar sesuai untuk dirawat menjadi air bersih.

Pengguna juga perlu melaporkan dengan segera jika berlaku paip pecah, paip bocor dan kecurian air kepada agensi bekalan air supaya tindakan segera dapat diambil.

Mereka juga dinasihatkan untuk mengguna dan memasang alat cekap air di rumah bagi mengurangkan penggunaan air isi rumah dan mengelakkan perbuatan membazir air kerana setiap titisan air itu sangat tinggi nilainya.

Pengerusi Malaysian Water Engineers Action Committee (MyWAC), Ishak Hasnan ketika membuat saranan berkenaan berkata pengendali perkhidmatan air yang bertanggungjawab membekalkan air bersih kepada pengguna kini berhadapan cabaran dan risiko bukan sahaja di loji rawatan sebaliknya bermula daripada kawasan tadahan hinggalah kepada pengguna.

TUKAR PERSEPSI

Menurut Ishak berkata jika ada yang berpandangan tugas membekalkan air bersih adalah mudah dan murah kerana memperolehi secara percuma hujan yang turun daripada langit, itu adalah satu persepsi yang salah.

Cabaran serta risiko yang dihadapi pengendali air kini bertambah berat terutama dengan banyak isu seperti kawasan tadahan, perubahan iklim, pencemaran sungai, isu di loji rawatan dan cabaran dalam mengagihkan air bersih kepada pengguna .

“Jika tidak ditangani isu ini sebaik-baiknya ditambah dengan sikap pengguna yang suka membazir air tidak mustahil krisis air boleh berlaku yang menyebabkan gangguan air di negeri masing-masing ,” katanya dalam temu bual di Bernama baru-baru ini.

Turut hadir bersama beliau, tiga exco MyWAC yang mewakili pengedali Syarikat Air Darul Aman, Pengurusan Air Selangor Sdn.Bhd dan Air Kelantan Sdn Bhd

MyWAC adalah jawatankuasa Bahagian Bekalan Air, di bawah Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) dengan dianggotai 28 jurutera wakil operator bekalan air setiap negeri bagi membincangkan masalah air di peringkat akar umbi untuk dibawa ke kementerian.

Jelas Ishak yang juga jurutera air di Lembaga Air Perak, kesan perubahan iklim semakin ketara pada masa ini terutama cuaca panas dan hujan yang tidak menentu hingga menyebabkan air di kawasan tadahan dan empangan di bahagian hulu berkurangan.

Walaupun kuantiti taburan hujan adalah sama namun lokasi hujan yang turun berubah ke bahagian hilir iaitu kawasan pantai.

Ini menyebabkan ketika musim kering yang panjang, pembenihan awan terpaksa dilakukan di bahagian hulu bagi memastikan hujan dapat turun di kawasan tadahan.

Pengurangan air ketika cuaca kering di kawasan tadahan terutama empangan akan turut memberi kesan kepada bekalan untuk disalurkan kepada pengguna.

Apabila sungai menjadi cetek, pam tambahan terpaksa dipasang di tengah sungai untuk mengepam air ke muka sauk.

“Jika masalah bekalan air bertambah kritikal, loji rawatan terpaksa ditutup yang menyebabkan bekalan air terganggu, “ tambahnya.

PEMBANGUNAN TIDAK TERKAWAL

Selain itu, kawasan tadahan juga berhadapan cabaran apabila pembangunan dilakukan secara tidak terkawal hingga meyebabkan air hujan tidak dapat disimpan di dalam tanah untuk dilepaskan secara perlahan-lahan ke dalam sungai.

“Banyak hutan di kawasan tadahan yang digondolkan menyebabkan air hujan terus mengalir masuk ke sungai membawa bersama kayu-kayan, daun, kelodak dan pasir. Ini akan menyebabkan sungai menjadi keruh.

“Kayu-kayan dan daun yang hanyut sering menutup muka sauk memerlukan kos yang tinggi setiap kali membersihkannya.

“Selain itu sungai pula sering berhadapan dengan masalah kekeruhan dan pencemaran yang menyebabkan loji rawatan kadangkala terpaksa ditutup, “ jelasnya.

Menurut Ishak lagi, kebanyakan loji rawatan air mempunyai kemampuan yang terhad yang hanya boleh merawat kekeruhan kurang 1,000 Nephelometric Turbidity Unit (NTU) dan amonia kurang 1.5 ppm (bahagian per sejuta)

Beliau menjelaskan, loji perlu ditutup sekiranya kekeruhan melebihi kemampuan atau apabila berlaku pencemaran bahan kimia seperti amonia atau tumpahan minyak dan bahan kimia lain.

Ishak berkata, loji yang ada tidak direkabentuk untuk merawat bahan kimia termasuk minyak yang ditumpahkan ke dalam sungai.

Bagi menghalang bahan cemar masuk ke muka sauk, Air Selangor contohnya mengambil pendekatan memasang alat pengesan atau sensor bagi setiap lima kilometer kawasan sungai sebelum sampai ke muka sauk.

Sensor tersebut akan mengeluarkan amaran (bunyi) sekiranya berlaku pencemaran bahan kimia di sungai untuk tindakan awal sebelum ia masuk ke loji, dan kos tersebut terpaksa ditanggung agensi pengendali air.

KOS RAWATAN AIR TINGGI

Pelbagai bahan kimia digunakan seperti alum( tawas), kapur dan klorin, bagi merawat air sungai yang selamat digunakan, mengikut kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan standard Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sesetengah loji yang mempunyai kekeruhan yang tinggi air, ajen penggetalan (sejenis bahan kimia untuk merawat kekeruhan) akan digunakan yang menyebabkan kos rawatan bertambah.

“Kos bahan kimia menyumbang 20 hingga 30 peratus kos rawatan air. Apabila berlaku kenaikan harga bahan kimia, kos rawatan juga akan bertambah.

“Untuk menjalankan peralatan loji seperti pam dan peralatan lain, ini memerlukan tenaga elektrik dan kos elektrik sendiri menyumbang antara 50 hingga 60 peratus daripada kos pengeluaran,” jelas Ishak.

Apabila terlalu banyak isu yang melibatkan sumber air di permukaan, maka agensi pengendali air perlu mencari sumber alternatif lain bagi mengatasi masalah kekurangan air, antaranya menggunakan air bawah tanah.

Menurut Ishak, Kelantan adalah antara negeri yang ke hadapan dalam inovasi teknologi sumber air bawah tanah dengan peratusan penggunaan sumber air bawah tanah kini mencapai 60 peratus.

Negara barat, kata beliau menggunakan teknologi air bawah tanah secara meluas tetapi ia masih baharu di Malaysia.

“Dahulu kita beranggapan di Malaysia banyak hujan sebab itu kita bergantung dengan sumber air dari sungai. Apabila berlaku banyak pencemaran begini, baharu kita sedar yang kita perlukan sumber alternatif lain.

“Untuk meneroka sumber air baharu, ia memerlukan kajian, penyelidikan dan semuanya itu memerlukan kos yang tinggi yang tidak mampu dilaksanakan oleh agensi pengendali air, ” katanya.

INDUSTRI AIR MASIH MISKIN

Melihat industri air di Malaysia terutama daripada sudut perniagaan, ia masih belum mencapai kemajuan walaupun standard rawatan air menyamai dengan standard antarabangsa.

Menurut Ishak, industri air di Malaysia masih jauh ketinggalan dan bukan perniagaan yang menguntungkan kerana bebanan kos yang semakin tinggi yang perlu ditanggung oleh pengendali air bagi mengatasi pelbagai isu untuk memberikan air terawat kepada pengguna.

Beliau berkata, walaupun berhadapan pelbagai kekangan namun standard loji yang ada di negara ini menyamai dengan negara maju.

Cuma yang membezakannya adalah sikap dan kesedaran masyarakat di sana yang lebih tinggi terutama dalam penjagaan sumber air.

Di Malaysia, tambah beliau, jurang kesedaran pengguna untuk meletakkan nilai air di tahap yang tinggi masih jauh ke belakang.

Banyak teknologi yang boleh diterokai dalam memberikan kualiti air yang lebih baik kepada pengguna seperti menambah bahan mineral, ozon di dalam air terawat namun ia memerlukan kos yang tinggi.

“Di Jepun contohnya, mereka memberikan rawatan air yang berkualiti tinggi kepada pengguna disebabkan pengguna sanggup membayar lebih. Sedangkan di Malaysia, tarif air kita terlalu rendah jadi kita hanya mampu merawat air mengikut kemampuan yang ada sahaja.

“Jika pengguna sanggup membayar lebih, kita boleh menaik taraf loji rawatan bagi memastikan bekalan air yang lebih baik kepada pengguna. Kita mempunyai teknologi dan ramai pakar air, hanya kemampuan kewangan sahaja yang menjadi halangan untuk menambah baik perkhidmatan air sedia ada ,” katanya yang berharap industri air akan terus dipertingkatkan.

Beliau berharap industri ini mampu berdiri sendiri sebagai satu entiti yang dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna.

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply