Agong Belum Mendapatkan Kepercayaan Dewan Rakyat Bentuk Kerajaan Baru | Malaysia Top News
August 12, 2020

Agong Belum Mendapatkan Kepercayaan Dewan Rakyat Bentuk Kerajaan Baru

Kuala Lumpur, MTN – Yang di-Pertuan Agong masih belum memperoleh keyakinan mengenai seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti dalam Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan baharu.

“Pihak Istana Negara akan berhubung dengan ketua-ketua pimpinan parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat, bagi memberi peluang kepada mereka untuk mengemukakan pencalonan nama ahli Dewan Rakyat sebagai bakal perdana menteri,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin.

Perdana Menteri Sementara Dr Mahathir Mohamad semalam mengumumkan mahu membentuk pemerintahan yang tidak memihak kepada mana-mana parti.

Pakatan Harapan mencalonkan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Bersatu, yang tidak lagi bersama gabungan itu, mencalonkan presidennya Muhyiddin Yassin manakala Muafakat Nasional mahu parlimen dibubarkan.

Anwar kini dikatakan mempunyai pencalonan terbanyak dengan kira-kira 90 anggota parlimen.

Bagaimanapun, dengan sokongan itu, beliau hanya berpeluang membentuk kerajaan minoriti.

Sementara itu, Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan dengan keputusan speaker Dewan Rakyat untuk tidak memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada Isnin depan.

Speaker Mohamad Ariff Md Yusof tengah hari tadi menolak mesyuarat khas Dewan Rakyat pada Isnin depan, yang dipanggil oleh Mahathir.

Katanya, surat pemakluman memanggil mesyuarat itu tidak mengikut peraturan kerana tidak disusuli dengan pemberitahuan usul yang lengkap.

Parlimen pada asalnya dijadualkan bersidang semula pada 9 Mac.

Dalam kenyataan sebentar tadi, Ahmad Fadil juga berkata Seri Paduka Baginda akan terus berusaha mencari jalan penyelesaian selaras dengan Perlembagaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas mesyuarat Majlis Raja-raja pagi tadi.

Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •