Analisis: Kemelut Politik Membuat Aliran Keluar Bersih Malaysia Bermasalah
Analisis: Kemelut Politik Membuat Aliran Keluar Bersih Malaysia Bermasalah
Kuala Lumpur, MTN – Aliran keluar bersih Malaysia menguasai pasaran ekuiti pada minggu lepas, mengatasi jualan bersih lebih RM1.15 bilion berbanding RM447.9 juta pada minggu sebelumnya berikutan kemelut politik mengejutkan yang menyaksikan perebutan dalam kalangan parti politik untuk membentuk kerajaan seterusnya.
Seorang penganalisis berkata keadaan tidak stabil selama seminggu itu telah menyebab aliran keluar bersih meningkat pada Isnin apabila indeks utama, FBM Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.68 peratus atau 41.14 mata kepada 1490.06 mata, serta pada Jumaat apabila indeks jatuh 1.52 peratus atau 22.95 mata kepada 1,482.64.
“Memandangkan indeks menjunam hampir ke paras terendah dalam tempoh sembilan tahun, senario terlebih jual berlaku. Bagaimanapun, risiko negatif daripada krisis politik yang berlarutan ditambah dengan kebimbangan terhadap COVID-19 akan menyebabkan pelabur kekal tidak memasuki pasaran buat masa ini,” katanya.
Sepanjang minggu yang baru berakhir ini, negara menerima kejutan apabila parti pemerintah Pakatan Harapan tumbang susulan peletakan jawatan perdana menteri pada masa itu Tun Dr Mahathir Mohamad yang membawa kepada pembubaran kabinet.
Bagaimanapun sejurus selepas peletakan jawatan beliau, Dr Mahathir dilantik semula sebagai perdana menteri interim oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menyelesaikan kebuntuan.
Pada Sabtu, keadaan berubah apabila Seri Paduka Baginda berkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai perdana menteri kelapan.
Seri Paduka membuat keputusan itu sejajar dengan artikel 40(2)(a) dan artikel 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan bagi asas bahawa Muhyiddin mungkin mendapat kepercayaan majoriti dalam Parlimen, demikian menurut kenyataan daripada Istana Negara.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.
Pada Khamis, Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bernilai RM20 bilion untuk melindungi ekonomi negara daripada kesan COVID-19 dan meningkatkan penggunaan tempatan di samping membantu sektor yang paling teruk terjejas seperti pelancongan dan perkhidmatan.
Selain pergolakan politik, pasaran juga dijangka dipengaruhi oleh musim keputusan korporat serta kajian semula Indeks Bon Kerajaan Dunia FTSE (WGBI) pada Mac, yang mana jika Malaysia dikeluarkan daripada senarai WGBI akan menyebabkan bursa tempatan kehilangan akses pasaran antarabangsanya.
Mengenai prestasi ringgit, pengaturan semula politik telah menyebabkan mata wang tempatan jatuh kepada 4.2120/2180 pada Jumaat berbanding 4.1900/1940 pada minggu sebelumnya manakala FBM KLCI turun 48.56 mata kepada 1,482.64.
Menurut penganalisis, ringgit dijangka kekal berada dalam aliran menurun berikutan kurangnya pemangkin positif, keadaan senario politik semasa serta isu COVID-19.
Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pengelakan risiko berlaku sejak penularan wabak COVID-19 di luar China merebak dengan pantas selain keadaan politik tempatan yang tidak menentu.
“Kita melihat hasil bon turun dengan hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 3-,5- dan 10-tahun susut sebanyak 8, 10 dan 8 mata asas pada asas minggu ke minggu untuk ditutup masing-masing kepada 2.62 peratus, 2.67 peratus dan 2.83 peratus pada Jumaat.
“Memandangkan situasi penularan COVID-19 ketika ini, tumpuan akan terarah kepada indeks PMI Februari bagi mengukur impak segera ke atas ekonomi,” katanya.
Afzanizam berkata bagi minggu depan, pelabur akan menunggu keputusan seterusnya Bank Negara Malaysia mengenai kadar dasar semalamannya (OPR) pada 3 Mac.
“Kita melihat peluang tinggi bahawa BNM akan mengurangkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus untuk melengkapkan langkah-langkah rangsangan fiskal yang diumumkan pada 27 Feb,” katanya.
Author Profile
Latest entries
- NationalAugust 25, 2021Fokus PRU15, Bukan Kerusi Pengerusi PH Atau Ketua Pembangkang
- NationalAugust 25, 2021Hadi Awang: Taliban dah Berubah, Jangan Percaya pada Media Jahat
- NationalAugust 25, 2021Menjelang Pengumuman Kabinet, Ulama Pas: Jangan Sesiapa Jadi ‘Abang Long’
- PolitikAugust 25, 2021Puad: Lantik Azmin Ali Sebagai TPM Umpama Bunuh Diri