60,000 Jemaah Haji Tiba Di Muzdalifah Selepas Berwukuf Di Arafah | Malaysia News
August 6, 2021
Jemaah Haji di Muzdalifah selepas Wukuf di Arafah

60,000 Jemaah haji tiba di Muzdalifah selepas berwukuf di Arafah

Muzdalifah, MTN – Selepas menghabiskan sekitar 12 jam berwukuf di padang Arafah semalam, kira-kira 60,000 jemaah haji mengunjungi Muzdalifah sebagai persiapan untuk peringkat akhir haji tahun ini.

Beberapa minit selepas matahari terbenam pada hari kesembilan Zulhijjah, jemaah haji mula bergerak ke dataran Muzdalifah, untuk menyempurnakan solat Maghrib dan Isyak.

Pengangkutan bas, masing-masing membawa 20 jemaah tiba di Muzdalifah.

Di setiap bas terdapat panduan yang perlu diikuti jemaah bagi memastikan mereka menjaga penjarakan sosial.

Bas diiringi pasukan keselamatan dan bergerak mengikut selang waktu yang ditetapkan bagi memastikan aliran lalu lintas lancar.

Di Muzdalifah, jemaah mengumpul batu kerikil untuk menyempurnakan ibadah melontar jamrah di Mina.

Hari pertama di Mina adalah tanggal 10 Zulhijjah, menandakan hari pertama bagi sambutan Aidiladha.

Menteri Kesihatan Arab Saudi, Dr Tawfiq Al-Rabiah memberitahu saluran TV Al-Ekhbariya, tiada kes COVID-19 dikesan dalam kalangan jemaah haji setakat ini.

“Terdapat beberapa kes kecil kerana keletihan fizikal, namun jemaah dibenar keluar hospital sejurus mereka mendapatkan rawatan yang diperlukan,” katanya.

Advertisement

Timbalan Menteri Haji dan Umrah, Dr Abdul-Fattah Mashat, berkata semua jemaah dibawa dari Mina ke Arafah dalam perjalanan selama tiga jam dengan lebih 1,700 bas membawa jemaah dari Arafah ke Muzdalifah.

“Selepas matahari terbenam, jemaah mulai menaiki bas yang sudah bersiap sedia,” katanya.

Jemaah bergerak dari Muzdalifah ke Mina, bermula dari tengah malam Isnin.

“Bas-bas ini akan membawa mereka ke kem di Mina, di mana mereka akan bergerak ke kawasan Jamrah. Di sana, mereka disediakan tiga tingkat pembinaan di jamrah untuk melontar batu.

“Kami sudah membahagikan jemaah kepada kumpulan mengikut warna. Setiap kumpulan akan melemparkan (batu) dari lantai yang sudah ditentukan dan dari tempat tertentu untuk mengelak jemaah berkumpul,” katanya.

Mashat memuji jemaah kerana mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) dan mengikuti arahan pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial.

Advertisement
Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •