Ada 880 kilang haram dikesan di Batu Pahat

Ada 880 kilang haram dikesan di Batu Pahat
BATU PAHAT: Sebanyak 880 kilang dikesan beroperasi secara haram dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) sejak tahun lalu.
Daripada jumlah itu, 318 pemilik kilang, tanah dan premis sudah diberi notis untuk menjalani proses pemutihan supaya tidak dikenakan tindakan lanjut.
Yang Dipertua MPBP, Kamalludin Jamal, berkata antara lokasi ‘hotspot’ pembinaan kilang tanpa kebenaran terbabit ialah di sekitar kawasan Minyak Beku, Parit Bilal dan Parit Besar berhampiran Jalan Kluang.
“Antara kesalahan yang mereka lakukan ialah menjalankan operasi kilang di tanah berstatus pertanian, kedai dan rumah kedai serta kawasan perumahan.
“Ada juga sebahagian kilang haram itu beroperasi dalam zon industri, namun ia tidak mengikut spesifikasi ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita di Bilik Mesyuarat MPBP, di sini, hari ini.
Kamalludin berkata, pihaknya juga sudah menyerahkan borang Kemudahan Pelan Kebenaran Merancang (KM) kepada 318 pemilik kilang, tanah dan premis terbabit untuk merancang operasi kilang masing-masing supaya tidak menyalahi peraturan ditetapkan.
Beliau berkata, pada masa sama, pihaknya akan mengadakan program libat urus dengan pengusaha kilang pada Ahad ini di Dewan Perniagaan Cina, di sini.
“Sebanyak 318 kilang berkenaan terbabit dalam proses pemutihan dijalankan MPBP. Mereka diberi tempoh hingga 15 Mac depan untuk mengisytiharkan operasi kilang masing-masing.
“Proses pemutihan untuk baki 562 kilang beroperasi tanpa kebenaran itu akan dilaksanakan dalam fasa kedua dan ketiga dijangka hingga hujung tahun ini,” katanya.
Kamalludin menegaskan, mereka yang ingkar dan tidak mengendahkan amaran MPBP itu akan berdepan tindakan undang-undang, termasuk proses meroboh serta menyita kawasan operasi kilang terbabit.
Author Profile

Latest entries
SukanFebruary 6, 2025Piala Dunia Hoki 2025 – Malaysia tutup kempen kumpulan tanpa sebarang mata
NationalFebruary 6, 2025USANITA, Universiti Oxford tandatangani MoU perkasa pendidikan eksekutif Malaysia
NationalFebruary 5, 2025Gaza bukan hadiah untuk direbut, MAPIM kecam cadangan Donald Trump
NationalFebruary 5, 2025Thaipusam: Tambang percuma KTM Komuter dua hari