PM: Tiga Elemen Teknologi Canggih Akan Dilancarkan Di NAP 2020 | Malaysia News
December 9, 2021

PM: Tiga Elemen Teknologi Canggih Akan Dilancarkan di NAP 2020

Kuala Lumpur, MTN – Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 yang dilancarkan hari ini akan menggabungkan tiga elemen teknologi canggih baharu iaitu Kenderaan Generasi Seterusnya (NxGV), Mobiliti sebagai satu Perkhidmatan (MaaS) dan Revolusi Perindustrian 4.0 (Industri 4.0).

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata teknologi kenderaan adalah tumpuan pembangunan yang kritikal bagi pengeluar kereta dunia pada hari ini bagi meningkatkan keselamatan kenderaan serta menjadikan mobiliti lebih pintar dan mesra alam sekitar.

Selain menyelaraskan dengan trend teknologi terkini, beliau berkata, NAP 2020 juga menyasar menambah baik dasar semasa di samping memperkenalkan langkah-langkah baharu yang akan menjadi dasar pembangunan perindustrian holistik, menyediakan kepada keperluan berbeza pelbagai pemegang kepentingan dalam rantaian nilai.

 “Sehubungan itu, NAP 2020 telah menimbang semua kemungkinan elemen dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, penyertaan syarikat domestik dalam rantaian bekalan tempatan dan global, aktiviti kejuruteraan, pembangunan kapasiti tenaga kerja tempatan, peningkatan eksport serta insentif pelaburan,” katanya dalam ucap tama beliau pada pelancaran NAP 2020, di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata industri automotif dan sektor berkaitan telah menggunakan khidmat lebih 600,000 tenaga kerja dan menyumbang 4.0 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia.

Menurutnya, ketika ini terdapat lebih 20 kilang pembuatan dan pemasangan di negara ini yang mengeluarkan kenderaan penumpang dan perdagangan serta motorsikal dan skuter.

“Bagi segmen hiliran, terdapat kira-kira 53,000 syarikat selepas pasaran dan lebih 600 pengeluar bahagian-bahagian dan komponen automotif yang terdiri daripada panel kerangka, bahagian-bahagian trim, bahagian-bahagian powertrain, bahagian-bahagian getah dan bahagian-bahagian elektrik dan elektronik.

“Angka-angka ini tidak hanya mengagumkan, tetapi turut membuktikan bagaimana sebuah negara sedang membangun seperti Malaysia juga mampu menjadi pemain mantap dalam industri seperti ini sejak tiga dekad lepas,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, satu lagi ciri penting NAP 2020 adalah usaha berterusan ke arah pengeluaran mampan yang mana di peringkat global menyaksikan ekonomi kitaran sudah menjadi lumrah manakala kejayaan sesebuah industri turut diukur berdasarkan elemen seperti jejak karbon.

“Industri  automotif telah menempuh fasa sama seperti revolusi industri. Enjin yang bermula daripada sumber arang batu kepada yang dijana bahan api manakala kenderaan generasi seterusnya kini dipacu oleh hibrid, elektrik dan sel bahan api hidrogen,” katanya.

Beliau berkata, usaha promosi dan penerapan teknologi hijau bagi Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dan Kenderaan Generasi Seterusnya (NxGV) perlu disokong oleh ekosistem dan infrastruktur tepat bagi memastikannya kekal mampan dan menarik.

“Fasiliti bagi (pengurusan) bateri sel telah habis digunakan dan pengurusan serta rawatan sisa perlu diperhebatkan yang pada akhirnya dapat melengkapkan keseluruhan ekosistem, tidak hanya untuk industri automotif tetapi juga industri lain yang berkaitan,” katanya.

Dr Mahathir menegaskan semua prasarana teknologi tinggi dan kemudahan ini pada dasarnya akan mengurangkan kos pengeluaran di samping melengkapkan kitaran pengeluaran mampan dalam industri automotif serta dalam keseluruhan sektor pembuatan di Malaysia.

Advertisement

“Saya gembira bahawa NAP 2020 akan mempunyai rancangan untuk merealisasikan ini menerusi penetapan zon perindustrian khusus bagi amalan perniagaan ekonomi sirkular bagi industri automotif,” katanya.

Perdana Menteri juga mengimbau semula kenangan semasa kereta nasional pertama dilancarkan pada 1983.

Beliau berkata kereta nasional pertama itu bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai kuasa pembuatan serantau, beralih daripada negara kaya dengan sumber yang bergantung besar kepada perdagangan antarabangsa komoditi pertanian dengan tumpuan kepada sektor pembuatan.

“Apabila kita memulakan industri ini lebih 35 tahun lalu, ramai yang skeptikal tentang aspirasi kita. Tetapi hari ini, Malaysia menjadi satu daripada pasaran paling kompetitif bagi industri automotif dan telah melalui pelbagai fasa pembangunan dengan mencapai banyak kejayaan,” katanya.

Beliau berkata sektor automotif adalah pilihan yang logik kerana ia dapat menyediakan limpahan ekonomi yang lebih besar dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Dengan perindustrian, subsektor pembuatan berkaitan lain juga diwujudkan dan berkembang sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap bahan mentah seperti getah, keluli, plastik dan petrokimia, katanya.

“Selain daripada itu, perindustrian membuka lebih banyak sektor berkaitan perkhidmatan dan menyediakan perniagaan hiliran bernilai tinggi serta peluang pekerjaan dalam bidang borong, perkhidmatan selepas jualan dan pemasaran,” kata perdana menteri.

Jelas Dr Mahathir, industri automotif juga melangkaui daripada sekadar membabitkan aspek pengeluaran kereta, tetapi turut memacu pembangunan teknologi baharu yang akan melengkapi sektor industri lain.

“Teknologi kelengkapan dalam kereta misalnya menyediakan peluang besar bagi sektor industri berkaitan untuk menjana pencapaian baharu. Kaitan kedua-dua sektor huluan seperti keluli, plastik dan getah serta rantaian nilai hiliran turut membuktikan bahawa industri automotif adalah antara penyumbang utama serta strategik kepada pertumbuhan sektor pembuatan secara keseluruhannya,” kata beliau.

Mengulas selanjutnya mengenai sokongan terhadap pendekatan teknologi hijau, Dr Mahathir berkata mulai 1 Jan, 2020, biodisel minyak sawit telah dipertingkatkan daripada kategori B10 kepada B20 dalam sektor pengangkutan yang akan terus ditingkatkan kepada B30 sebelum 2025 atau lebih awal.

Malah, bagi memudahkan pelaksanaan itu, NAP 2020 akan menyediakan langkah-langkah sokongan termasuk pembangunan standard bagi pengujian serta penyelidikan untuk menyokong peningkatan usaha pemprosesan biodiesel sawit tersebut.

“Kesemua penekanan yang digariskan oleh NAP 2020 adalah komitmen (kerajaan) kepada industri bahawa kita juga bergerak dalam hala tuju sama dengan negara-negara utama lain agar seiring dengan trend global, sama ada secara teknologi atau alam sekitar,” katanya.[bernama]

Advertisement
Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •