Agong Lantik Mahathir Sebagai PM Interim | Malaysia News

Agong Lantik Mahathir Sebagai PM Interim

Agong Lantik Mahathir Sebagai PM Interim

Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali mengesahkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan melantik Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri interim.

Katanya, pelantikan itu sementara menunggu seorang perdana menteri yang baru mengangkat sumpah jawatan selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Adalah dimaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah berkenan menerima peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri Malaysia.

“Walau bagaimanapun, baginda telah berkenan untuk melantik beliau sebagai perdana menteri interim, sementara menunggu pelantikan perdana menteri yang baru.

“Justeru dalam tempoh ini, beliau akan menguruskan pentadbiran negara sehingga perdana menteri baru dilantik dan kabinet dibentuk,” kata Mohd Zuki menerusi satu kenyataan, lewat petang ini.

Sebelum itu, Dr Mahathir meluangkan kira-kira sejam setengah megadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sementara itu, menurut sumber yang rapat dengan isu perlembagaaan berkata, Seri Paduka mungkin mengambil masa sehingga 10 hari untuk menentukan pihak mana yang mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baru.

Sejak seminggu-dua kebelakangan ini beberapa ahli parlimen dilamar menandatangani akuan berkanun yang mengisytiharkan sokongan kepada Mahathir tetapi di bawah pakatan atau gabungan yang berbeza.

Walau bagaimanapun, sokongan berkenaan mungkin ditarik balik kurang tempoh 48 jam lalu susulan pendedahan bahawa Mahathir tidak mempunyai sebarang rancangan untuk membentuk gabungan baru yang terdiri daripada 11 wakil rakyat yang berpaling tadah dari PKR yang diketuai oleh ahli parlimen Gombak Azmin Ali, selain ahli parlimen Bersatu, BN, PAS, GPS dan Warisan.

Sebahagian besar daripada mereka mahu menumbangkan Pakatan Harapan tetapi tetap mahu Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri.

Berikutan gerakan politik itu, Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu.

Bersatu mempunyai 26 Ahli Parlimen tetapi terdapat spekulasi bahawa sebahagian daripada mereka kini mahu terus bersama Mahathir.

Pemimpin PH, selepas pertemuan dengan Mahathir pagi ini, mendakwa perdana menteri kecewa dengan gabungan baru itu kerana dirinya tidak mahu bekerjasama dengan Umno. Bagaimanapun, Mahathir belum menjelaskan perkara itu secara terbuka dengan mengadakan sidang media.

Peletakan jawatan Mahathir mengejutkan banyak pihak kerana sebelum ini beliau berkali-kali mangatakan bahawa beliau akan kekal sebagai perdana menteri sehingga selesai Malaysia menjadi tuan rumah kepada mesyuarat APEC November ini.

 

Tiada Had Tempoh PM Interim, Boleh Lantik Menteri

Tiada had tempoh bagi jawatan perdana menteri interim yang boleh memutuskan atas budi bicaranya untuk melantik menteri kabinet, kata Peguam Negara Tommy Thomas.

“Perdana menteri interim memiliki semua kuasa yang diletakkan di bawah Pejabat Perdana Menteri. Ini termasuklah (kuasa) untuk melantik atau tidak melantik anggota kabinet menurut budi bicaranya.

“Kerana Dewan Rakyat bersidang dari 10 Mac ini, suatu usul undi percaya boleh digerakkan terhadap beliau atau sesiapa sahaja.

“Tiada had tempoh untuk pejabat perdana menteri interim. Oleh yang demikian adalah salah untuk menyatakan (tempoh PM interim) selama 10 hari atau waktu lain yang ditetapkan,” kata beliau dalam suatu kenyataan malam ini.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali mengesahkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan melantik Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri interim.

Katanya, pelantikan itu sementara menunggu seorang perdana menteri yang baru mengangkat sumpah jawatan selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Sumber memberitahu Malaysiakini, Yang di-Pertuan Agong mungkin mengambil sehingga sepuluh hari untuk memutuskan gabungan politik mana yang mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan baru.

Sementara itu, dalam suatu kenyataan berasingan, Ketua Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali memaklumkan Yang di-Pertuan Agong juga telah memperkenankan untuk membatalkan pelantikan menteri-menteri PH.

“(Ia) sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan pada 24 Februari 2020 selaras dengan peletakan jawatan perdana menteri.”

“Sehubungan itu, tugas-tugas anggota pentadbiran (merangkumi timbalan perdana menteri, menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik) adalah terhenti pada tarikh yang sama,” kata beliau pada suatu kenyataan malam ini.

-Malaysiakini

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply