Agong Panggil Ahli Parlimen, Pastikan Kesahihan Sokongan - Prof Sivamurugan | Malaysia News

Agong panggil Ahli Parlimen, pastikan kesahihan sokongan – Prof Sivamurugan

Agong dan Pemimpin-Pemimpin Parti

Agong panggil Ahli Parlimen, pastikan kesahihan sokongan – Prof Sivamurugan

Kuala Lumpur, MTN – Penganalisis politik berpandangan, tujuan Yang di-Pertuan Agong memanggil 114 Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Bebas, masuk menghadap pagi ini, berkemungkinan untuk mendapat kepastian surat akuan (SD) yang dibuat masing-masing.

Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian, berpendapat dengan cara memanggil Ahli Parlimen berkenaan menghadap seorang demi seorang, Yang di-Pertuan Agong boleh menentukan keabsahan SD yang dihantar kepada baginda.

Beliau berkata, mustahak ketika ini adalah untuk menentukan ketelusan dan keabsahan sokongan pemilihan calon Perdana Menteri seterusnya.

“Berdasarkan keputusan semalam, saya berpandangan mungkin Yang di-Pertuan Agong mahukan satu lagi kepastian menerusi pertemuan secara individu membabitkan Ahli Parlimen yang sudah memberikan sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri (Yaakob).

“Yang dijemput 114 Ahli Parlimen dalam pertemuan bermula pagi ini, barangkali bertujuan untuk mencari keabsahan ke atas apa yang telah dinyatakan dan juga mungkin ianya adalah untuk menunjukkan ada ketelusan pemilihan Perdana Menteri walaupun ia kuasa mutlak Seri Paduka Baginda.

“Amalan dilakukan dengan perubahan politik terbaharu mungkin penting untuk memastikan keabsahan supaya di peringkat Istana Negara, prosedur jelas, di peringkat Ahli Parlimen pun penerimaannya itu jelas supaya memelihara kredibiliti Institusi Raja-Raja,” katanya kepada BH hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pertemuan 114 Ahli Parlimen BN, PN, GPS dan Bebas, secara berperingkat bermula pagi tadi, untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Dipercayai, sesi menghadap Seri Paduka itu bertujuan mengesahkan sokongan kepada calon Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berpandangan sesi menghadap 114 Ahli Parlimen di Istana Negara berkemungkinan Yang di-Pertuan Agong mahu menzahirkan pandangan baginda kepada Ahli Parlimen terbabit yang menyokong pencalonan Ismail Sabri.

Jelasnya, kaedah ini penting supaya 114 Ahli Parlimen berkenaan yang menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri terus kekal berbuat demikian bagi mengelakkan peralihan sokongan yang boleh mengakibatkan berulangnya ‘tragedi’ Perdana Menteri meletakkan jawatan.

“Juga sesi menghadap hari ini untuk Yang di-Pertuan Agong mendapatkan kepastian daripada 114 Ahli Parlimen.

“Mereka yang menyokong calon Perdana Menteri ini jika ada usul percaya terhadap Perdana Menteri pada sesi Parlimen bulan depan mesti terus menyokong agar tidak berlaku lagi perubahan jawatan itu dalam masa terdekat.

“Perkara itu boleh mengganggu kelancaran pentadbiran dan sekali gus membiarkan krisis politik berlarutan,” katanya. [BH]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply