Amanah: Ahli Veteran PAS Akan Tolak Umno, Sokong Amir | Malaysia News

Amanah: Ahli veteran PAS akan tolak Umno, sokong Amir

Amanah: Ahli veteran PAS akan tolak Umno, sokong Amir

Kuala Lumpur, MTN – Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar mendakwa penyokong veteran PAS di DUN itu menyuarakan rasa tidak gembira dengan kerjasama parti itu dengan Umno.

Mahfuz berkata, penyokong PAS yang berusia lebih 50 tahun memberitahunya bahawa mereka akan menyokong calon bebas Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

“Ini kali keempat saya datang (ke Slim). Secara umumnya, penyokong PAS generasi berusia 50 tahun ke atas nampak beri sokongan jelas kepada Amir. Ini akan dilihat semasa pengundian nanti.

“Saya pun terkejut, ada yang sudah lama dengan PAS tiba-tiba datang untuk ingatkan saya tentang peristiwa lama (perseteruan dengan Umno) dan menyatakan komitmen untuk beri undi (kepada Amir).

“Walaupun tak isytihar keluar PAS, mereka tak gembira dengan PAS kini bersama Umno dan sokong kleptokrat,” katanya ketika sidang media di Slim, hari ini.

Amir yang disokong Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan berdepan dengan calon BN Mohd Zaidi Aziz. Seorang lagi calon ialah bekas guru, S Santharasekaran yang bertanding atas tiket bebas.

PRK Slim diadakan selepas penyandangnya Mohd Khusairi Abdul Talib meninggal dunia bulan lalu. Allahyarham menjadi Adun di situ selama empat penggal.

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad pula menggesa penyokong PAS untuk mengingat kembali insiden kerajaan negeri Pakatan Rakyat ditumbangkan pada 2009, hanya setelah 11 bulan mentadbir negeri, ekoran beberapa Adun yang melompat parti.

“Ramai ahli PAS yang tak selesa dengan hala tuju PAS sekarang. Apa yang berlaku di Perak (pada 2009) dikutuk oleh Almarhum Nik Aziz dulu.

“Atas semangat hormat kepada Nik Aziz, kita menyeru PAS kembali kepada pendirian dan dasar politik berakhlak, bermaruah dan menolak calon BN,” katanya.

PRK uji ahli PAS, Umno

Bagi Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub pula, PRK kali ini akan menjadi medan ujian untuk penyokong PAS dan Umno.

“Berdasarkan pengalaman kami…telah lama dengan PAS. Fitrah penyokong PAS ini tak boleh sokong Umno, begitu juga (penyokong) Umno tak boleh sokong PAS.

“Pasti ada penyokong PAS yang tak menyokong calon Umno,” katanya lagi.

Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi berkata jentera parti itu akan berusaha agar penyokong PAS tidak akan keluar mengundi Mohd Zaidi.

“Ini kita telah lakukan dengan beberapa cara dan kita dapati banyak kesan positif. Kita tidak akan beri laluan mudah (kepada BN),” katanya lagi.

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply