Amanah Dan DAP, Khalid Samad: Cadangan Shafie Calon PM Perlu Keputusan Bersama PH | Malaysia Top News
July 8, 2020

Amanah dan DAP, Khalid Samad: Cadangan Shafie Calon PM Perlu Keputusan bersama PH

Kuala Lumpur, MTN – Amanah dan DAP memutuskan bahawa cadangan untuk menjadikan Presiden Warisan Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri PH perlu diputuskan secara bersama dalam Majlis Presiden gabungan itu.

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata, Jawatankuasa Pimpinan Nasional (JPN) parti itu telah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan cadangan itu hari ini.

“Mesyuarat mengambil maklum bahawa cadangan itu untuk mencari penyelesaian kepada usaha mencukupkan sokongan ahli Parlimen bagi PH membentuk semula kerajaan.

“Setelah mengambil pandangan semua ahli mesyuarat, jawatankuasa menganggap persoalan ini perlu diputuskan bersama dalam Majlis Presiden PH demi menjamin kesepakatan dan kebersamaan dalam menangani persoalan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khalid tidak menyatakan pendirian Amanah berkenaan cadangan itu.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (di atas) berkata jawatankuasa tertinggi pusat (CEC) parti itu juga sebulat suara memutuskan bahawa pencalonan Shafie harus diputuskan bersama dalam mesyuarat majlis presiden PH.

Lim Guan Eng

Ini susulan mesyuarat CEC malam ini, yang mengatakan Majlis Presiden PH harus mengadakan mesyuarat dalam kadar segera sebelum persidangan parlimen bermula pada 13 Julai.

“CEC menegaskan pendirian bahawa kedudukan Pakatan Harapan perlu diperkukuhkan dan pada masa yang sama, Pakatan Harapan juga perlu bekerjasama dengan semua parti yang komited untuk menentang Perikatan Nasional.

“CEC mengambil maklum bahawa cadangan pencalonan ini adalah bersejarah kerana melibatkan seorang pemimpin dari Malaysia Timur dipertimbangkan buat julung kalinya,” katanya.

Pada 27 Jun lalu, Dr Mahathir Mohamad mendedahkan cadangan untuk mencalonkan Shafie dibuat dalam satu pertemuan tidak rasmi dengan DAP, Amanah dan Warisan. Cadangan itu juga mengesyorkan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden Bersatu yang dipertikai, Mukhriz Mahathir sebagai timbalannya.

Ia bagi memecahkan kebuntuan antara Mahathir dan Anwar berhubung siapa yang patut menjadi calon perdana menteri.

PKR tidak hadir dalam pertemuan itu.

Mahathir juga berkata semua yang hadir setuju dengan cadangan itu. Bagaimanapun DAP dan Amanh kemudian berkata ia perlu dibincang di peringkat parti dan PH terlebih dahulu.

Dalam pada itu, Khalid berkata mesyuarat hari ini menegaskan usaha mengambil kembali kerajaan adalah perkara yang perlu diutamakan.

Mesyuarat juga bersetuju untuk merujuk cadangan itu kepada Majlis Presiden PH dalam masa terdekat untuk mendapat persetujuan bersama, katanya lagi.

Selain untuk memecahkan kebuntuan, pencalonan Shafie juga dilihat sebagai usaha mendapat sokongan daripada blok Malaysia Timur yang penting dalam membentuk majoriti di Dewan Rakyat.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata partinya sedia untuk meninjau semula isu calon perdana menteri susulan perkembangan itu, tetapi turut mengingatkan agar semua pihak berhati-hati dengan sebarang usaha untuk melaga-lagakan parti dalam PH.[mk]

Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •