Amanat Hadi Hingga Anwar Freemason: Silat Pulut Parti Islam | Malaysia Top News
August 12, 2020

Amanat Hadi hingga Anwar Freemason: Silat Pulut Parti Islam

Sekarang gerombolan pengikut parti Islam sedang giat bersilat menafikan Hadi Awang menuduh Anwar Freemason. Ia selepas terbongkar surat tidak senonoh itu kepada pemimpin gerakan Islam dunia Arab.

Mereka sedang ‘terkucil’ dan ‘sakit perut’ dengan kebocoran surat yang tidak disangka ditulis oleh tok guru itu.

Sebenarnya sudah lama puak parti Islam, parti Melayu dan NGO Melayu tertentu membuat tuduhan Anwar alat Amerika Syarikat (AS), ejen Freemason, liberal, plural menyamakan semua agama dan sebagainya.

Itu sudah lama berlaku dalam ceramah-ceramah kecil, cakap-cakap di bawah, dalam usrah, dalam komen-komen di internet. Itu langsung tidak boleh dinafikan.

Tiba-tiba apabila ada sungguh dokumen yang mengulangi tuduhan yang membawa maksud yang sama seperti itu daripada orang tertinggi parti Islam.

Anwar pun menjawab atau menafikan khabar angin itu, yang antaranya bermula dengan nama yang sama dengan namanya tersenarai dalam jawatankuasa Freemason itu, dengan mendedahkan gambar orang yang bernama Anwar Ibrahim itu adalah seorang Arab yang gemuk dan berperut buncit.

Akibat tersalah urat kerana terkejut dengan pendedahan gambar Anwar Ibrahim Setiausaha Agung Freemason itu gemuk dan buncit perutnya, tiba-tiba terus pengikut parti Islam membuka silat pulut untuk mengelak dan mengelat dengan mempersoalkan ayat mana dan perenggan mana dalam surat itu menuduh anwar Freemason.

Kes tuduhan terhadap Datuk Seri Anwar ini samalah dengan Amanat Hadi 1981, yang akibatnya orang Umno dikafirkan oleh pengikut Pas sehingga solat dua imam, tidak makan sembelihan orang Umno, bercerai-berai suami isteri dan putus silaturrahim antara adik beradik dan sebagainya.

Ia berlaku selama puluhan tahun. Maksudnya takfir memang berlaku dalam masyarakat, khususnya di Terengganu dan Kelantan. Di Kedah pula ia berlaku di bawah ajaran Ustaz Ibrahim Libya.

Apabila dibangkitkan Amanat itu antara punca kepada fenomena takfiri, mereka pun bingkas bangun dan bersilat pulut juga lalu bertanya, “ayat mana dalam Amanat itu mengkafirkan Umno?” Wow, hebat betul silat parti Islam. [MDL]

Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •